Lebih 2 juta pencari kerja berdaftar dengan MYFutureJobs
SHAH ALAM - Sebanyak 2,460,189 pencari kerja berdaftar dengan portal MYFutureJobs setakat Disember tahun lepas, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 46,000 merupakan pencari kerja dalam kalangan golongan orang kurang upaya (OKU), 106,000 lepasan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), manakala selebihnya daripada kumpulan lain.
Steven berkata, dalam hal berkenaan, portal MYFutureJobs yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bukan hanya sebagai pusat pangkalan data pekerjaan, tetapi juga sistem dipacu dengan kecerdasan buatan (AI) yang berfungsi memadankan pekerjaan antara majikan dengan pekerja.
"... malah portal ini juga menjadi gedung maklumat yang berpotensi menjadi panduan kepada pembuat dasar, dan orang berkepentingan seperti majikan, pekerja, penyelidik mahupun masyarakat sivil secara amnya tentang pasaran kerja di negara kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Karnival Kerjaya Kementerian Sumber Manusia MADANI MyFutureJobs OKU dan TVET oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Jumaat.
Berkenaan karnival kerjaya selama tiga hari itu, Steven berkata, sebanyak 20,000 peluang pekerjaan ditawarkan melalui penglibatan lebih 100 majikan daripada pelbagai sektor.
Beliau berkata, karnival kerjaya itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan tumpuan terhadap golongan OKU serta lepasan TVET, sekali gus menjadi bukti keprihatinan kerajaan dalam mewujudkan pasaran kerja yang lebih terangkum selaras konsep Madani.
Antara majikan yang terlibat pada karnival yang berlangsung serentak di 11 negeri itu ialah Kementerian Pertahanan (Tentera Udara Diraja Malaysia), Prasarana, Petron, 99 Speedmart, Exchange 106 dan MSM Malaysia Holdings Berhad.
Dalam perkembangan lain, Steven berkata, pemerkasaan sektor latihan kemahiran dan TVET mampu meletakkan Malaysia mencapai taraf Ivy League, dibantu dengan kehadiran syarikat-syarikat bertaraf dunia di negara ini seperti Intel, AMD, Hitachi dan Clarion.
"Hari ini kita menjadi tuan rumah kepada syarikat teknologi bertaraf dunia seperti AWS, Nvidia, Ali Baba, Geely, Ericson, Infineon. Justeru, tiada sebab kenapa sektor latihan kemahiran kita tidak boleh dibangunkan ke standard Ivy League," katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!