Arab Saudi nyata komitmen naikkan biasiswa pelajar Malaysia
KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan Arab Saudi, Dr Yousef Abdullah Al-Benyan menyatakan komitmen untuk menaikkan biasiswa Kerajaan Arab Saudi kepada pelajar Malaysia dan perbincangan lanjut mengenai perkara itu akan dilakukan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam mesyuarat dua hala yang diadakan semasa lawatan kerja beliau ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Persidangan Inisiatif Keupayaan Manusia (HCI).
"Pada masa sama, kami juga bersetuju agar segala kerenah birokrasi membabitkan proses pertukaran pelajar dan proses pendaftaran yang melibatkan visa, pengesahan akreditasi dan sebagainya akan diselesaikan dengan segera.
"Beliau turut memaklumkan Malaysia dan Arab Saudi adalah dua negara bersaudara dan sangat akrab,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Selain itu Zambry berkata, perjumpaan dengan Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz Salman Al Saud telah menyentuh mengenai kerjasama untuk membentuk pusat penyelidikan dan kajian bersesuaian antara Malaysia dan Arab Saudi terutamanya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), teknologi dan peralihan tenaga.
Zambry berkata, Putera Abdulaziz yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah King Fahd University of Petroleum and Minerals (KFUPM), Saudi bersetuju untuk berkolaborasi antara universiti dalam negara dengan KFUPM melalui pertukaran pelajar dan tenaga mahir.
Dalam tempoh lawatan kerja itu, Zambry turut bertemu dengan Menteri Perdagangan Saudi, Dr Majid bin Abdullah AlKassabi; Menteri Pelaburan Saudi, Khalid Al Falih dan Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial Saudi, Ahmad Sulaiman AlRajhi.
Beliau berkata, ketiga-tiga pemimpin memberi komitmen untuk mengadakan perjanjian dan kerjasama antara kementerian mereka dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pelbagai cabang seperti latihan pengurusan haji secara dalam talian, kursus dan penyelidikan bersama berkenaan perdagangan, pelaburan serta pertukaran idea dan pengalaman pakar berkenaan sumber manusia.
"Kesemua menteri yang saya temui ini memberikan komitmen bagi memberi ruang dan peluang kepada mana-mana institusi pendidikan negara untuk bekerjasama membina rangkaian pendidikan lebih luas antara Malaysia dan Arab Saudi.
"Mereka akan mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan sejawatan melalui delegasi Arab Saudi ke Malaysia yang dibentuk sebelum ini iaitu Saudi-Malaysian Coordination Council,” katanya.
Zambry turut berkesempatan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Qatar, Buthaina Ali Al Jabr Al Nuaimi dan Menteri Pendidikan Bahrain, Dr Mohammed Mubarak Juma.
Menurut beliau, kedua-dua pertemuan itu memberi tanda positif kepada hubungan pendidikan tinggi antara Malaysia dengan Qatar dan Bahrain dengan kesemua pihak bersetuju untuk meningkatkan jumlah pelajar ke Malaysia dan sebaliknya menambahkan jumlah pelajar Malaysia ke negara mereka.
"Ini termasuklah program Qatar Foundation yang membantu pelajar di negara konflik belajar di Malaysia untuk diaktifkan semula serta biasiswa untuk pelajar Malaysia ke Qatar.
"Kampus cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha, Qatar kini dalam proses akhir pembukaan untuk beroperasi bakal menawarkan empat program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara pesisir (offshore),” katanya.
Menurut Zambry, secara keseluruhan lawatan kerja ke HCI di Riyadh itu merupakan satu lawatan yang berjaya dalam memperkukuh kerjasama serta memperluas jaringan antara Malaysia dan negara Timur Tengah dalam sektor pendidikan tinggi.
Beliau berkata melalui komitmen dan persetujuan kerjasama bersama Arab Saudi, Qatar dan Bahrain memperlihatkan kepercayaan dan keyakinan negara-negara ini terhadap kemampuan ekosistem pendidikan tinggi negara dalam melahirkan bakat berkualiti dan meneroka bidang-bidang baharu selain memperhebat penyelidikan bagi memanfaatkan masyarakat. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!