Tahap kesihatan Abdul Hadi bertambah baik - Setiausaha Politik

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

MARANG - Tahap kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semakin baik dan beliau dapat meneruskan rutin mingguan menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.

Setiausaha politiknya, Syahir Sulaiman yang memaklumkan perkara itu berkata, tahap kesihatan pemimpin Pas itu beransur pulih namun masih terhad selepas menerima rawatan susulan di hospital sejak beberapa hari lalu.

Abdul Hadi yang juga ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun dapat menyampaikan kuliah kira-kira satu jam hari ini.

Kuliah sama turut dihadiri Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Terdahulu media melaporkan, Abdul Hadi tidak kelihatan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada 26 Februari lalu.

Semasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, kerusi Presiden Pas di barisan hadapan blok pembangkang dilihat kosong.

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, Abdul Hadi berdepan masalah kesihatan dan beliau masih mempunyai beberapa rawatan susulan di sebuah hospital di Terengganu.

Jelas Mohd Syahir, surat dan sijil cuti sakit sudah dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. - Awani

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!