KPKM anjur libat urus bersama pihak berkepentingan industri padi, beras

KPKM bersetuju mengadakan kajian dan perbincangan lanjut berhubung industri padi dan beras secara menyeluruh. Gambar hiasan
KPKM bersetuju mengadakan kajian dan perbincangan lanjut berhubung industri padi dan beras secara menyeluruh. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengadakan satu sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri padi dan beras pada Khamis, susulan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Februari lepas.

KPKM dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat khas terbabit bersetuju supaya KPKM mengadakan kajian dan perbincangan lanjut berhubung industri padi dan beras secara menyeluruh dengan mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan dan kesan kepada pengguna.

"Menerusi sesi libat urus ini, segala pandangan, ulasan serta input yang diberikan akan diperhalusi serta dikaji sebaiknya melibatkan kepentingan semua pihak dalam rantaian nilai industri padi dan beras.

"... bermula daripada pesawah, pengilang, pemborong serta peruncit seterusnya pengguna sebelum diangkat satu pelan tindakan baharu industri padi dan beras untuk pertimbangan Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac kelak,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPKM, sesi libat urus itu dipengerusikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta dihadiri pelbagai pihak berkepentingan di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras yang terdiri daripada wakil persatuan pengilang, pemborong, peruncit dan restoran.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali; Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood serta beberapa wakil daripada Padiberas Nasional Berhad, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!