Rampasan tanah terbesar milik Palestin

Tebing Barat yang berkeluasan 263 hektar kini ditetapkan sebagai sebahagian daripada kawasan penempatan haram Maale Adumim yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Baitulmaqdis Timur.
Tebing Barat yang berkeluasan 263 hektar kini ditetapkan sebagai sebahagian daripada kawasan penempatan haram Maale Adumim yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Baitulmaqdis Timur.
A
A
A

RAMALLAH - Israel merancang untuk merampas tanah milik penduduk Palestin di Tebing Barat bagi memperluaskan projek penempatan haram Yahudi di wilayah tersebut.

Pelan jahat tersebut dilihat sebagai salah satu skim rampasan tanah terbesar rejim Tel Aviv sejak ia menduduki enklaf berkenaan pada 1967.

Lokasi tersebut yang berkeluasan 263 hektar kini ditetapkan sebagai sebahagian daripada kawasan penempatan haram Maale Adumim yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari Baitulmaqdis Timur.

Penduduk Palestin mempertahankan tanah milik mereka daripada dirampas rejim Zionis.
Penduduk Palestin mempertahankan tanah milik mereka daripada dirampas rejim Zionis.

Pada 24 Februari lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menyatakan pendirian Washington yang menganggap penempatan haram Yahudi di Tebing Barat tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Penduduk Palestin berulang kali menggesa campur tangan antarabangsa untuk menghentikan projek peluasan kontroversi tersebut yang semakin galak dilakukan Israel sejak Perang Gaza tercetus.

Ketika ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan insiden keganasan yang dilakukan pelampau Yahudi di Tebing Barat.

Ia disifatkan sebagai satu bentuk keganasan melampau terhadap penduduk Palestin yang berdepan penindasan dan kezaliman selama ini.

Artikel Berkaitan:

Golongan ekstremis itu juga menyasarkan harta benda penduduk Palestin dan kejadian serangan tidak berperikemanusiaan itu direkodkan hampir pada setiap hari di seluruh Ramallah sejak Oktober lalu.

Data terbaharu menunjukkan kira-kira 400 penduduk Palestin termasuk 100 kanak-kanak terkorban dalam tempoh lebih empat bulan lalu.

SERANGAN SEKSUAL

Sementara itu, laporan kumpulan pemerhati hak asasi manusia Euro-Med mendedahkan kelakuan durjana tentera Israel melakukan serangan seksual secara berterusan ke atas wanita Palestin yang diculik oleh mereka.

Pendedahan dibuat pertubuhan berpusat di Geneva itu berdasarkan keterangan mangsa yang mendakwa diseksa dengan teruk termasuk dipukul dan diancam rogol.

“Mereka dipaksa telanjang, dibogelkan di hadapan anggota tentera lelaki ketika prosedur pemeriksaan tubuh dan dimaki hamun,” jelas laporan tersebut.

Wanita Palestin menjadi mangsa serangan seksual berterusan tentera Israel.
Wanita Palestin menjadi mangsa serangan seksual berterusan tentera Israel.

Pengalaman ngeri itu dikongsikan seorang wanita berusia 45 tahun dari Bandar Gaza yang diculik selepas sekolah kendalian PBB yang menjadi tempat berlindung penduduk Palestin hilang tempat tinggal diserbu pada Disember lalu.

Mangsa mendakwa dia dipukul berulang kali oleh anggota tentera wanita dan hanya dibebaskan selepas tempoh 43 hari.

“Wanita itu ditempatkan di dalam kurungan haiwan selama 11 hari tanpa diberi makanan atau air untuk diminum,” ujar laporan itu lagi.

Detik hitam sama turut dialami gadis berumur 20 tahun dari kem pelarian Jabalia di utara Genting Gaza.

Menurutnya, rejim Zionis mengikat tangan dan menutup mata ketika memeriksa tubuhnya yang ketika itu hanya memakai seluar dalam.

Euro-Med menegaskan kesemua bentuk pelanggaran dilakukan Israel adalah sebahagian daripada kempen tidak berperikemanusiaan mereka terhadap penduduk Palestin di Gaza terutamanya ke atas wanita dan remaja perempuan.

Pada minggu lalu, panel pakar PBB melihat dakwaan yang boleh dipercayai tentang serangan seksual ke atas golongan wanita Palestin termasuk insiden diperkosa oleh tentera Israel dan bentuk penderaan seksual lain. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!