Misi baik pulih khat Yasin daripada rotan
KOTA BHARU - Sebuah pusat peranginan di Kubang Kerian mengambil inisiatif membaik pulih khat surah Yasin dihasilkan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga orang kurang upaya (OKU), Allahyarham Mohd Sanusi Awang Hassan.
Peninggalan istimewa Allahyarham itu yang menggunakan rotan sepenuhnya dipindahkan dari Masjid Belukar Luas Ketereh ke Min House Camp sejak Januari lalu.
Berkongsi pertukaran lokasi itu, pemilik Min House Camp, Wan Noriah Wan Ramli, 68, berkata, pemindahan seni khat itu dicadangkan isteri Allahyarham, Fadhilah Othman yang bercuti di pusat pelancongan berkenaan.
"Fadhilah berpendapat khat itu sesuai dipamerkan di sini berikutan konsep tempat ini yang mempamerkan keunikan pelbagai barangan klasik dari seluruh dunia," katanya.
Noriah berkata, khat itu sangat bermakna kerana bukan sahaja mengambil masa agak lama untuk disiapkan iaitu kira-kira tiga tahun, malah dicatat sebagai Seni Khat Rotan Terpanjang dunia pada 2017 dalam Malaysian Books of Record (MBOR).
Bagaimanapun, Noriah berkata, pihaknya kini dalam proses membaik pulih khat terbabit kerana banyak tanda baca sudah tertanggal manakala pelapiknya juga rosak dimakan anai-anai.
"Proses ini dipantau pesara guru Pendidikan Islam, Nor Azman Yaacub, 52, bagi memastikan semua huruf serta baris disusun dengan betul.
"Alhamdulillah proses membaik pulih khat mendapat kerjasama institusi pengajian tinggi awam dan sukarelawan dari dalam dan luar negara," katanya.
Jelas beliau, antara yang terlibat ialah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik Jeli, dan Politeknik Ulu Terengganu serta sukarelawan dari Tunisia dan United Kingdom (UK).
Menurut Noriah, pihaknya akan menambah lapik khat bagi memastikan kedudukannya lebih kukuh selain mengekalkan warna asal khat itu.
"Walaupun sudah tiada, namun Allahyarham yang juga penulis puisi dengan nama pena Uci Putera meninggalkan sesuatu yang sangat bermakna untuk tatapan kita semua," katanya.
"Mohd Sanusi meninggal dunia kira-kira enam tahun lalu dan banyak meninggalkan kenangan termasuk naskhah penulisannya dan ilmu untuk generasi akan datang," katanya.
Menurut Noriah, isteri Allahyarham turut berkongsi suka-duka pensyarah itu menyiapkan 83 ayat surah Yasin berkenaan termasuk mencari saiz rotan yang sama.
"Kami berusaha mengekalkan keunikan asal khat itu termasuk susunan di atas papan lapis sepanjang 179.2 meter.
"Setakat ini masih ada beberapa ayat belum lengkap dan insya-ALLAH semuanya akan dapat disiapkan dalam tempoh terdekat," katanya.
Untuk rekod, wartawan Sinar Harian pernah melaporkan mengenai proses membuat khat oleh Allahyarham Mohd Sanusi pada Jun 2020.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!