LHDN ambil tindakan tepat
TINDAKAN Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan amaran untuk 'memburu' mana-mana individu yang mempunyai aset dan kekayaan tidak setimpal dengan pelaporan cukai sememangnya dipersetujui ramai pihak.
Ini kerana sikap culas sedemikian tidak sewajarnya berlaku, selain tidak adil buat pihak lain yang amanah dalam mengisytiharkan harta masing-masing.
Pada Jumaat, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 LHDN di Cyberjaya dilapor berkata, pihaknya akan memberi tumpuan penuh kepada isu ketirisan cukai oleh individu terbabit.
Pada masa sama, katanya, tumpuan juga membabitkan pendapatan dari Malaysia yang disimpan di dalam akaun luar negara yang belum dilaporkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam majlis sama turut menggesa agensi itu supaya terus bersikap tegas dan berani dalam 'memburu' pembayar cukai yang culas tanpa menggira kedudukan dan pangkat termasuk dalam kalangan 'mahakaya' atau syarikat-syarikat gergasi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, agensi berkenaan tidak perlu takut untuk mengambil tindakan termasuk jika perlu menggeledah ke atas mereka yang tidak membayar cukai.
Isu pembayar cukai khususnya individu memiliki kekayaan tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab yang wajar sememangnya kerap dibangkitkan sebelum ini.
Justeru, dengan amaran tegas yang dikeluarkan pemimpin nombor satu negara diharap mampu memberi peringatan kepada semua pihak bahawa tindakan mereka yang culas sedang diperhatikan.
Amaran ini juga diyakini akan memberi kesan kepada pempengaruh yang sebelum ini kerap 'menayangkan' kekayaan di laman sosial masing-masing.
Pun begitu, ibarat peribahasa 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga', jelas membawa mesej bahawa sejauh mana licik seseorang itu pasti akan tersilap langkah.
Jadilah individu bertanggungjawab sebelum 'ditangkap' LHDN.
Buat individu berstatus kaya, jadilah rakyat yang kaya dalam semua aspek kerana manfaatnya akan kembali kepada masyarakat itu sendiri khususnya dalam membantu kerajaan menyediakan infrastruktur lebih selesa bagi kegunaan bersama.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!