Ternakan ikan susu berpotensi jadi sumber pendapatan: Salahuddin

Salahuddin (tiga, kanan) menunjukkan hasil ikan susu yang baru diambil dari kolam pada Majlis Pelancaran dan Promosi Ikan Susu Malaysia di Ladang Ternakan Usaha Fadzilat, Kempt. 13, Batu Lintang, Kuala Muda hari ini. -Foto Bernama
Salahuddin (tiga, kanan) menunjukkan hasil ikan susu yang baru diambil dari kolam pada Majlis Pelancaran dan Promosi Ikan Susu Malaysia di Ladang Ternakan Usaha Fadzilat, Kempt. 13, Batu Lintang, Kuala Muda hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI PETANI - Industri ternakan ikan susu mempunyai potensi besar dijadikan sumber pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kepada masyarakat luar bandar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perusahaan spesies ikan itu atau nama saintifiknya 'Chanos chanos' juga sesuai dijalankan secara penternakan kontrak yang turut berupaya menyediakan peluang pelaburan dan perniagaan.

"Kerajaan melalui MOA (Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani) akan sentiasa beri segala kemudahan khidmat nasihat dengan kepakaran kita daripada Jabatan Perikanan," katanya pada sidang media selepas melancarkan promosi ikan itu di Syarikat Usaha Fadzilat (M) Sdn Bhd dekat sini hari ini.

Syarikat itu merupakan syarikat pertama di Semenanjung yang berjaya menternak ikan susu di kawasan seluas kira-kira 80 hektar di Batu Lintang dekat sini sejak 2017.

Syarikat itu memiliki pensijilan MyGAP dan Sijil Kualiti Ikan (FQC) dikeluarkan Jabatan Perikanan dan kini telah menghasilkan hampir 1,000 tan metrik ikan bernilai RM7.5 juta secara kumulatif sejak mula ia mengusahakan ternakan ikan berkenaan.

Salahuddin berkata, kementerian amat menggalakkan pengusaha terutama golongan muda mengambil peluang menceburi perusahaan ikan berkenaan yang bukan sahaja mudah cara penjagaannya dan tidak memerlukan kos yang tinggi malah juga mempunyai permintaan amat baik dalam pasaran.

"Syarikat Usaha Fadzilat ini boleh jadi sebagai peneraju untuk perusahaan ikan susu dan saya mengharapkan pihak syarikat juga tidak keberatan untuk membimbing sekiranya ada pengusaha lain yang berminat untuk menceburi bidang (mengusahakan ikan susu ini)," katanya.

Beliau berkata selain rasanya yang lemak dan lembut, ikan susu juga kaya dengan protein dan Omega-3. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!