Filipina keluarkan rakyat dari Iraq hari ini
MANILA - Pemindahan mandatori rakat Filipina di Iraq bermula hari ini selepas tahap amaran dinaikkan kepada empat ke atas negara-negara Asia Barat, susulan ketegangan yang semakin meningkat berikutan pembunuhan komander kanan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Leftenan Jeneral Qasem Soleimani oleh Amerika Syarikat (AS) minggu lalu.
Setiausaha Alam Sekitar, Roy Ciamtu yang ditugaskan oleh Presiden Rodrigo Duterte sebagai Duta Khas ke Asia Barat berkata, rakyat Filipina di Iraq akan dipindahkan sama ada melalui jalan darat atau udara ke Jordan dan Dubai di mana situasi di situ lebih stabil.
"Jika lapangan terbang di Iraq masih dibuka, kami akan menggunakannya. Pilihan lain ialah melalui darat ke Jordan.
"Kami akan memindahkan rakyat Filipina yang terlibat ke Dubai, Qatar atau Manila," katanya.
Menurut Caimtu, ketika ini terdapat kira-kira 4,400 rakyat Filipina di Iraq dan daripada jumlah itu seramai 1,592 orang telah mendaftar untuk penghantaran pulang.
Kelmarin, Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana mengesahkan Angkatan Tentera Filipina (AFP) akan dikerah ke Iraq untuk melancarkan proses pemindahan tersebut.
Katanya, kapal dan aset udara serta dua batalion tentera terbabit dalam misi itu.
"Mereka ke Iraq bukan untuk terlibat dengan pertempuran sebaliknya membantu melicinkan proses pemindahan rakyat Filipina di negara terbabit," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!