[VIDEO] Pengantin berarak naik 'towing'
MARANG - Pasangan pengantin diraikan dengan sambutan yang unik apabila diarak menaiki trak tunda atau 'towing' pada majlis perkahwinan mereka di Kampung Rawai dekat sini pada petang Jumaat.
Idea tersebut tercetus sendiri daripada pengantin lelaki, Muhammad Badrul Haikal Muhammad Bakri, 22, terhadap isteri tercinta, Nurul Nazifah Ismail, 25, dengan membuat kelainan berarak menaiki trak tunda sebagai kenangan pada hari bahagia mereka.
Muhammad Badrul Haikal yang bekerja sebagai pemandu trak tunda sejak tiga tahun lepas itu berkata, idea secara spontan bersama rakan-rakan sekerjanya tersebut turut dipersetujui Nurul Nazifah serta ahli keluarga lain.
Muhammad Badrul Haikal berkata, beliau dan isteri mengelilingi kawasan kampung dengan menaiki trak tunda sebelum berarak sejauh lebih dua kilometer menuju ke kediaman keluarganya bagi majlis persandingan.
"Sebenarnya idea ini datang ketika usik-mengusik antara rakan sekerja mengenai berarak menaiki trak tunda ketika majlis perkahwinan nanti.
"Tak sangka idea ini dapat direalisasikan.
"Malah saya juga terharu apabila rakan-rakan dari Dungun, Kemaman dan Kota Bharu, Kelantan turut datang bersama trak mereka untuk memastikan perancangan itu menjadi seperti dirancang.
"Saya juga bersyukur apabila isteri serta ahli keluarga tidak membantah (idea) malah kami tidak malu kerana menerusi trak tunda inilah sumber saya mencari rezeki sehingga dapat mendirikan rumah tangga bersama wanita tersayang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perkahwinannya di Kampung Rawai di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Muhammad Badrul Haikal menyatakan kenangan menaiki trak tunda berarak bersama isteri semasa hari perkahwinannya merupakan suatu detik bersejarah dan kenangan manis yang tidak akan dilupakan buat selama-lamanya.
Sementara itu, Nurul Nazifah berkata, beliau sangat terkejut apabila diberitahu suami mengenai perancangan untuk diarak menaiki trak tersebut.
Bagaimanapun, beliau menganggap pengalaman diarak menaiki trak tunda merupakan kenangan paling bermakna dan indah untuk dikongsi bersama suami sehingga akhir hayatnya.
"Saya betul-betul tidak sangka idea itu dapat dilaksanakan dengan mengelilingi kawasan kampung menaiki trak tunda sebelum berarak menuju ke pelamin.
"Pengalaman inu sangat lain daripada lain dan anggap keunikan ini akan dikenang selain diceritakan pada anak dan cucu pada masa hadapan," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!