Selangor belum buat semakan kenaikan elaun ahli majlis PBT - MB

Amirudin (kiri) semasa melepaskan peserta Program Ehsan Selangor Fruit Valley (SFV) Fun Run di Jalan Rawang, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Sabtu.
Amirudin (kiri) semasa melepaskan peserta Program Ehsan Selangor Fruit Valley (SFV) Fun Run di Jalan Rawang, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor belum membuat sebarang semakan berhubung cadangan kenaikan elaun ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, buat masa ini, perkara itu tidak menjadi keutamaan.

"Kita belum bawa (semakan) apa-apa lagi (mengenai kenaikan elaun ahli majlis PBT), kita kena tengok semula dan jika ada keutamaan dan kepentingan boleh dilaksanakan," katanya ketika ditemui pada Program Ehsan Selangor Fruit Valley (SFV) Fun Run di Jalan Rawang, Bestari Jaya di sini pada Sabtu.

Amirudin memberitahu, paling penting pada waktu ini, kerajaan negeri ingin memastikan tugas dan pelaksanaan kerja di peringkat PBT dapat dilaksanakan dengan baik.

"(Kenaikan elaun ahli majlis PBT) ini bukan keutamaan, tetapi keutamaan kita adalah mempertingkatkan perkhidmatan kita khususnya mengumpul dana dan hasil sebagai contoh kutipan sisa pepejal.

"Ini antara menjadi tumpuan kerajaan negeri supaya dapat memperkemas perkhidmatan sisa pepejal, mengurangkan aduan serta kes pembuangan sampah haram di negeri ini," tambah beliau.

Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan, kerajaan Selangor akan meneliti kesesuaian cadangan menaikkan elaun ahli majlis PBT di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim semasa dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor memberitahu, pelaksanaan cadangan itu dikaji terlebih dahulu dan ia bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!