Tiga jam tangkap anak buaya tembaga 15kg
MELAKA - Sepasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berjaya menangkap seekor anak buaya tembaga selepas mengambil masa selama tiga jam, di Sungai Air Batu, Kampung Paya Rumput Jaya Hilir, Sungai Udang, di sini pada petang Jumaat.
Pegawai Operasi, Latihan dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Melaka Tengah, Leftenan (PA) Mohd Kamil Hassan berkata, seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan orang awam pada jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, pasukan itu mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menangkap anak buaya seberat kira-kira 15 kilogram dengan dibantu orang awam.
"Ketika tangkapan dilakukan kita terpaksa menggunakan pam air bagi mengeringkan air dan jaring penduduk kampung.
"Operasi mengambil masa hampir tiga jam sebelum anak buaya sepanjang lebih satu meter berjaya ditangkap," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Jelasnya, reptilia itu kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka untuk tindakan selanjutnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!