'Rohingya makin lama makin ramai, kami memang tidak selesa'

Taman Jujur didakwa menjadi penempatan etnik Rohingya teramai di Seremban
Taman Jujur didakwa menjadi penempatan etnik Rohingya teramai di Seremban
A
A
A

SEREMBAN - Penduduk Taman Jujur di Sikamat di sini sememangnya sudah biasa berkongsi kejiranan dengan etnik Rohingnya yang didakwa mula menghuni kawasan itu sejak tahun 1990-an.

Mereka mengakui kehadiran etnik tersebut yang lama kelamaan semakin ramai menimbulkan rasa kurang selesa ditambah pula dengan gaya hidup yang berbeza dengan warga tempatan.

Seorang peniaga tempatan di kawasan itu yang mahu dikenali sebagai Karim, 54, berkata, bukan kesemua penduduk Rohingya berkenaan berkelakuan tidak baik.

Bagaimanapun beliau berkata, ia tetap menimbulkan rasa kurang selesa mereka, lebih-lebih lagi komuniti tersebut yang dilihat semakin ramai di situ.

"Saya berniaga di sini sejak tahun 2006 dan dapat lihat perkembangan mereka yang lama kelamaan seolah-olah 'membina' perkampungan di sini.

"Sama seperti orang kita, mereka ini ada baik dan ada jahat tapi budaya hidup mereka yang suka meludah merata-rata, buat bising serta pengotor itu timbulkan rasa kurang selesa," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Asmah, 57, pula berkata, dia tidak pernah mengalami pengalaman buruk dengan komuniti tersebut.

Bagaimanapun dia mengakui kehadiran mereka yang semakin ramai menimbulkan rasa kurang senang penduduk ditambah pula ada yang berlagak seolah-olah kawasan itu dia yang punya.

Artikel Berkaitan:

"Mereka ini buat ragam sendiri, tak reti nak ikut budaya kita. Itu yang buat sakit hati. Tapi saya tak nafikan ramai mereka ini yang baik," katanya.

Halimah Ibrahim, 25, yang berkahwin dengan lelaki Rohingya berkata, hanya disebabkan seorang dua yang bermasalah, habis semua etnik itu dicop jahat.

Dia turut mendakwa, selama ini komuniti Rohingya di situ hidup dengan aman, namun hanya sejak kebelakangan ini mula dengar rungutan daripada penduduk tempatan.

"Yang lebih 10 tahun duduk sini, mereka tahu undang-undang di sini dan menghormatinya.

"Cumanya ketika Covid-19, ramai orang baharu masuk dan mulalah buat perangai sendiri. Bila ditegur, tak mahu dengar. Itu yang jadi masalah," katanya.

Antara Rohingya yang ditahan semasa operasi dijalankan.
Antara Rohingya yang ditahan semasa operasi dijalankan.

Sebelum ini media melaporkan Taman Jujur di Sikamat yang dipercayai menjadi perkampungan etnik Rohingya sejak hampir 20 tahun diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu.

Hasil operasi tersebut seramai 335 Rohingya diperiksa dan 29 daripadanya ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!