5G dapat tingkatkan rawatan pesakit dan keupayaan pengajaran di hospital

Fahmi Fadzil pada sesi lawatan ke hospital pengajar yang dilengkapi rangkaian 5G bersepadu yang masih dalam pembinaan selepas sesi taklimat di hospital Radium Norway pada Jumaat. - Foto: Bernama
Fahmi Fadzil pada sesi lawatan ke hospital pengajar yang dilengkapi rangkaian 5G bersepadu yang masih dalam pembinaan selepas sesi taklimat di hospital Radium Norway pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

OSLO - [DIKEMAS KINI] Idea untuk memiliki hospital yang dilengkapi kemudahan rangkaian bersepadu 5G dan teknologi barunya, adalah aspek yang boleh dimanfaatkan Malaysia bagi meningkatkan keupayaan rawatan ke atas pesakit dan pengajaran dalam bidang perubatan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Fahmi pada Jumaat, melawat Hospital Radium Norway, di sini, tempat di mana syarikat gergasi telekomunikasi Norway Telenor Group mempamerkan secara dedikasi penyelesaian dalaman teknologi 5G dan kerjasama dengan hospital itu untuk melaksanakan inovasi rawatan pesakit dan membangunkan solusi kesihatan untuk meningkatkan kecekapan.

Fahmi berkata, penyedia perkhidmatan telekomunikasi boleh melibatkan diri dalam perkongsian bersama dengan swasta-awam dan mereka bersedia untuk bekerjasama dengan hospital untuk menawarkan perkhidmatan baharu atau menghasilkan penyelesaian baharu.

"Jenis penyelesaian yang mereka ada di sini ialah membawa hospital kepada pesakit, tidak semestinya membawa pesakit ke hospital, dan idea untuk mempunyai dua rangkaian - rangkaian berasaskan IP konvensional dan rangkaian asas 4G/5G.

"Terdapat banyak pandangan dalam perkara ini dan saya amat bersemangat melihat penggunaan teknologi 5G seperti ini dilaksanakan di sini," katanya selepas lawatan itu, di sini.

Rangkaian khusus 5G antara lain membuka peluang baharu seperti penyelesaian Internet Kebendaan (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) sambil memberikan gambaran keseluruhan yang lebih baik tentang pesakit serta akses yang lebih pantas dalam keputusan ujian untuk pengamal.

Ia juga membuka peluang dalam penjagaan kesihatan masa depan seperti pembedahan bantuan jarak jauh dan sebagainya - semua ini di hospital pengajaran juga meningkatkan pengalaman pembelajaran dan keupayaan pengamal perubatan.

Fahmi berkata, beliau akan membawa perkara ini ke Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan untuk melihat apek yang boleh dilakukan bersama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan kerjanya ke Norway, Fahmi berkata penglibatan lebih meluas diperlukan dengan rakan kongsi di seluruh dunia, seperti Telenor untuk mempelajari kaedah lebih baik menggunakan teknologi baharu dan baru muncul.

"Secara keseluruhannya, selepas dua hari melawat Oslo, ia sangat membuka mata kerana banyak penyelesaian yang kita lihat di sini sama ada ia sedang dilaksanakan atau sudah dilaksanakan.

"Saya mempunyai peluang yang sangat baik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai operasi Telenor dan juga cabaran...jenis peluang yang dibentangkan. Sebagai sebuah negara, kita mesti terbuka kepada peluang ini," tambahnya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Telenor dan Timbalan Ketua Asia, Håkon Bruaset Kjøl percaya bahawa kepentingan 5G dan peluang yang dibawa oleh teknologi adalah sama pentingnya dengan membangunkan perkongsian awam-swasta yang kukuh.

"Ini menunjukkan bahawa 5G juga sama penting bagi sektor awam. Kes penggunaan yang kita lihat hari ini, untuk hospital juga dapat mengurangkan kos dan meningkatkan keselamatan terhadap data yang telah dikumpul untuk merawat pesakit dengan lebih baik," katanya.

Håkon juga berkata, penting untuk menjalinkan perkongsian antara industri kerajaan dan swasta serta pemain lain dalam ekosistem.

"Ini termasuk mengadakan dialog terbuka untuk memastikan kita mendapat peraturan yang betul,” katanya.

"Telenor gembira untuk meneruskan dialog yang dimulakan semasa lawatan menteri dan berkongsi lebih banyak penyelesaiannya kepada pelaksanaan rangkaian 5G di pasaran maju pada masa depan, termasuk melalui CelcomDigi Bhd," tambahnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!