Tekun sedia dana RM65 juta bantu 4,000 usahawan informal, mikro Selangor
PETALING JAYA - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menyediakan dana pembiayaan RM65 juta untuk disalurkan kepada 4,000 usahawan informal dan mikro di Selangor.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, dana pembiayaan itu bertujuan meningkatkan taraf ekonomi usahawan di negeri berkenaan.
"Setakat Januari tahun ini, sejumlah RM7.35 juta pembiayaan telah diberikan kepada 225 usahawan Tekun Selangor.
"Kepada usahawan yang berhasrat untuk mengembangkan perniagaan, ambil peluang yang disediakan untuk mendapatkan pembiayaan,” katanya ketika merasmikan Karnival Tekun Madani Selangor yang turut dihadiri Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid di sini, hari ini.
Menurut Ramanan, Tekun Nasional menyalurkan pembiayaan sehingga RM100,000 untuk tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun pada kadar faedah dua hingga empat peratus, jauh lebih rendah berbanding institusi pembiayaan kewangan lain.
Sejak diwujudkan pada 1998 sehingga Januari 2024, Tekun Nasional telah menyalurkan dana pembiayaan perniagaan sebanyak RM9.15 bilion kepada 574,348 orang usahawan di seluruh negara.
Sementara itu, Ramanan berkata seramai 137,520 peminjam (Tekun) Nasional mempunyai tunggakan hutang melebihi enam bulan berjumlah lebih RM1.1 bilion.
Daripada jumlah itu katanya bilangan peminjam tertinggi yang gagal membayar semula tunggakan adalah dari Selangor melibatkan 22,662 peminjam, diikuti Sabah (16,945) dan Kedah (14,823).
Timbalan Menteri itu menyeru peminjam Tekun terbabit supaya menyelesaikan tunggakan agar manfaat dana pembiayaan perniagaan itu dapat terus dinikmati oleh usahawan lain yang memerlukannya.
"Saya dimaklumkan sehingga Januari 2024, kadar tunggakan pembiayaan adalah sebanyak 12.66 peratus di seluruh negara, manakala di Selangor, kadar tunggakan pembiayaan dicatatkan pada kadar 21.53 peratus.
"Saya harap para peminjam dapat menjelaskan baki (tunggakan bayaran balik) pembiayaan mengikut jadual. Kita mestilah menjadi masyarakat yang bertanggungjawab kerana kalau kita tidak bayar balik pinjaman yang diberikan, manfaat ini tidak dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia lain yang memerlukan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!