Kerajaan peruntuk dana RM1 bilion lahir generasi baharu usahawan bumiputera

Anwar ketika berucap pada Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
Anwar ketika berucap pada Majlis Penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi yang akan dikendalikan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dana tersebut bertepatan dengan hasrat dan syor yang dihujahkan semasa Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Februari iaitu untuk mewujudkan sebuah Dana Pemacu Transformasi Bumiputera.

"Kita mampu mencipta lebih banyak syarikat usahawan bumiputera yang berjaya seperti Aerodyne yang berjaya menembusi pasaran global dalam perkhidmatan dron.

"Kita juga harus berbangga dengan kejayaan Les Copaque dan Animonsta yang mengungguli industri karya kreatif. Begitu juga dengan kejayaan ramai usahawan muda yang memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi digital baharu untuk berniaga seperti saudara Khairul Aming,” kata beliau dalam ucapan khas pada majlis penutup KEB 2024, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Anwar turut mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf MARA Madani dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta yang menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk menjadi penaung kepada sistem wakaf itu dan prestasi inisiatif tersebut akan dilaporkan secara berkala kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Menurut Anwar, sistem wakaf itu akan diteraju Majlis Amanah Raya (MARA) dan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran MARA selari dengan hasrat penubuhan agensi itu.

"Wakaf MARA Madani akan memberi manfaat kepada 70.1 peratus rakyat bumiputera dan memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan, keusahawanan dan pengangkutan yang semakin mencabar di alaf baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham seperti Wakaf ASNB (Amanah Saham Nasional Bhd) dan Waqaf An-Nur di bawah Johor Corp," kata beliau.

Bagi memanfaatkan tanah wakaf terbiar, Perdana Menteri berkata Belanjawan Madani 2024 juga telah menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM500 juta sebagai galakan untuk membangunkan tanah wakaf agar dapat menjana pendapatan mampan dan menyediakan rumah mampu milik.

Anwar juga berkata, kerajaan akan mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro bumiputera sehingga RM1 bilion melalui institusi kewangan pembangunan seperti BSN, Agrobank, dan Tekun Nasional.

Dana itu bertujuan menyediakan sokongan kepada pelbagai segmen usahawan bumiputera termasuk golongan wanita, belia, veteran tentera, penjaja, pekerja gig dan pengusaha food truck (trak makanan).

Mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), beliau berkata, seramai 100,000 pelatih bumiputera akan dilahirkan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan.

Menurut beliau, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan GLIC serta syarikat swasta termasuk yang dimiliki kaum Cina dan India akan turut terlibat dalam inisiatif itu untuk melatih pelatih TVET yang majoritinya adalah bumiputera.

"Dalam jangka pendek, kita mahu sumbangan dan penyertaan syarikat ini termasuk syarikat di bawah Gabungan Dewan Perniagaan Cina dan India... sekarang yang terlibat secara aktif adalah Petronas, Sime Darby, MRCB, Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Telekom Malaysia," kata beliau.

Anwar juga berkata, kerajaan akan menambah baik insentif cukai serta menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi mendukung pembangunan vendor tempatan.

Ini bagi menggalakkan lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program pembangunan vendor seperti penyediaan program latihan dan peningkatan kemahiran dalam bidang baharu khususnya pendigitalan, peralihan tenaga dan teknologi.

Sementara itu, beliau berkata, bagi memartabat dan menyokong hasil seni para pengusaha tempatan, bermula hari ini semua jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat GLC hanya dibenarkan membeli sebagai cenderahati hasil seni yang diusahakan oleh pengusaha tempatan.

"Lebih-lebih lagi menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, semua pihak harus membantu dan merancakkan lagi penghasilan produk kraf tangan tempatan agar nanti dapat dipamerkan keunikan dan ketulenan hasil kraf dari setiap negeri," kata beliau.

Anwar berkata, perkara tersebut merupakan antara lapan keputusan penting yang diambil kerajaan bagi mengangkat martabat dan darjat golongan bumiputera di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan beliau bagi memastikan setiap langkah yang diputuskan diurus dengan baik dengan tatakelola berkesan.

KEB 2024, yang berlangsung selama tiga hari dari 29 Februari hingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada sesi libat urus meliputi 10 kumpulan.

Kumpulan tersebut merangkumi reformasi pendidikan dan modal insan; pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pilihan kerjaya utama, pengukuhan industri Halal, pembangunan desa dan pemerkasaan masyarakat Orang Asli; penciptaan kekayaan dan penguasaan korporat; daya saing perusahaan bumiputera; penguasaan teknologi baharu; Felda dan tanah wilayah; sosioekonomi bumiputera Sabah serta sosioekonomi bumiputera Sarawak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!