Hanya 14 peratus daripada tiga juta orang carum SKSPS
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Jumlah pencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) direkodkan masih di paras rendah iaitu 14.16 peratus bersamaan 423,256 individu daripada tiga juta rakyat Malaysia yang bekerja sendiri.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, statistik itu berdasarkan laporan dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sehingga November 2023.
"Jumlah ini sangat rendah. Saya menyeru kepada orang ramai terutamanya yang bekerja sendiri sediakanlah payung sebelum hujan.
"Daftarlah SKSPS sebagai jaringan perlindungan pilihan anda.
"Ia penting sebagai perlindungan daripada risiko kemalangan, penyakit, kecacatan, kehilangan pekerjaan dan kematian serta sokongan kewangan apabila memerlukan sekiranya ditimpa musibah," katanya ketika memberi ucapan perasmian Fiesta PERKESO Membawa Senyuman di pusat beli-belah MyTOWN di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Pengurus Besar Pusat Beli Belah MyTOWN, Mohd Azhan Che Mat dan tetamu-tetamu kehormat lain.
Program anjuran PERKESO itu berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mac bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dengan menyediakan banyak pelbagai aktiviti menarik dan reruai.
Dalam pada itu, Abdul Rahman memaklumkan, inisiatif SKSPS bertujuan meringankan beban pencarum yang hanya perlu membayar baki 10 peratus iaitu RM23.30 untuk perlindungan selama 365 hari bersamaan 6 sen sahaja sehari.
Tambah beliau, seramai 391 individu bekerja sendiri telah mendaftar di bawah SKSPS sepanjang dua hari fiesta berlangsung dan 100 daripadanya ialah instruktor kecergasan serta 100 penggiat seni.
"Syabas kepada yang mencarum. Bagi yang belum, ayuh mulakan langkah perlindungan untuk anda dan manfaat seisi keluarga sekarang," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 205,747 wanita telah mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dengan 170,937 adalah tajaan caruman oleh kerajaan melalui daftar e-kasih manakala 34,810 lagi secara sukarela.
Ujar beliau, dua perlindungan utama disediakan di bawah skim berkenaan iaitu Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan.
"PERKESO tawarkan harga premium perlindungan hanya RM10 sebulan atau kira-kira 33 sen sehari.
"Premium perlindungan sosial ini ditetapkan pada kadar mampu milik, tanpa menjejaskan skop keperluan dan skala perlindungan kepada golongan suri rumah.
"Besarlah harapan saya agar sasaran 500,000 pencarum SKSSR dapat direalisasikan untuk tahun ini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!