Tiga isbat dukung aspirasi semua lapisan masyarakat - Anwar

Anwar (tiga dari kanan) melancarkan Laporan Sesi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) pada penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu. Foto Bernama
Anwar (tiga dari kanan) melancarkan Laporan Sesi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) pada penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu menggariskan tiga isbat atau ketetapan bagi mendukung aspirasi yang diutarakan oleh semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, ketiga-tiga isbat itu melibatkan usaha memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.

"Isbat memperkukuh pasak ekonomi negara perlu memfokuskan beberapa pemacu utama melibatkan usaha mengukuhkan daya saing, meningkatkan penskalaan, meningkatkan dan mengekalkan pemilikan ekuiti, mencipta kekayaan, membangunkan bakat, meningkatkan pendapatan dan menoktahkan kemiskinan tegar.

"Di bawah isbat ini, saya berharap agar golongan bumiputera dapat meningkatkan taraf sosioekonomi ke landasan yang lebih baik dalam mendepani cabaran dan peluang masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Sabtu.

Pada masa sama, Anwar berkata, isbat kedua iaitu memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi akan memberi penekanan kepada penghayatan dan falsafah bumiputera.

Beliau berkata, ia termasuk pengukuhan penyampaian perkhidmatan dan peningkatan penyertaan syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan (SOE) yang perlu diberi tumpuan khusus.

Malah, Perdana Menteri berkata, etika kerja dan nilai integriti yang tinggi perlu diterapkan dalam tatakelola dan institusi negara.

"Dengan pelaksanaan ini, adalah diharap kita semua bersama-sama menganjakkan paradigma penyampaian perkhidmatan ke tahap yang lebih baik demi kemaslahatan sejagat,” katanya.

Bagi isbat ketiga pula, iaitu menegakkan keadilan sosial, Anwar berkata, ia perlu memberi tumpuan untuk menyokong anjakan mobiliti sosial, meningkatkan kesaksamaan peluang dan memperluas jaringan perlindungan sosial.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, antara bidang yang memerlukan penelitian khusus merangkumi ekosistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan dan akses kepada infrastruktur asas yang berkualiti.

"Selain itu, usaha untuk meningkatkan sosioekonomi Orang Asli serta keseimbangan pembangunan di Sabah dan Sarawak harus diberi tumpuan. Pelaksanaan isbat ketiga ini diharap dapat memberikan hak dan perlindungan yang lebih saksama kepada masyarakat,” katanya.

Mengenai KEB 2024, Anwar berkata, kesemua intipati hasil kongres itu akan dicerakin untuk diterjemahkan ke dalam hala tuju Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera yang akan dirangka untuk tempoh 10 tahun akan datang dan dijangka diluncurkan pada Jun ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!