Himpunan Mega Demi Palestin berlangsung aman - Polis
KUALA LUMPUR - Himpunan Mega Demi Palestin yang diadakan di sekitar ibu negara petang ini berlangsung dengan aman, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.
Beliau berkata, tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang perarakan himpunan berkenaan yang bermula di hadapan Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak dan berakhir di Padang Merbok di Jalan Parlimen.
"Polis menempatkan anggota secukupnya bagi mengawal keadaan semasa perhimpunan berkenaan dan sehingga peserta himpunan bersurai pada 6 petang tadi, tiada apa-apa insiden tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Dianggarkan 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang dan usia menyertai himpunan bermula 2 petang, bergerak melalui beberapa jalan utama di ibu kota antaranya Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang dan Bulatan Dato Onn.
Tinjauan di lokasi perhimpunan mendapati orang ramai melaungkan slogan antaranya #demipalestin, #fromrivertheseaPalestinewillbefree dan #ceasefire bagi menyatakan sokongan terhadap Palestin dan mengutuk kekejaman pemerintahan negara Israel.
Kibaran bendera Palestin, sepanduk plakad seperti #freepalestin dan #gencatansenjata serta laungan ‘bebaskan Palestin’ bergema sepanjang jalan menuju ke Padang Merbok.
Seorang daripada peserta perhimpunan dikenali sebagai Aziz Abdul Rahman, 55, berkata penyertaannya dalam perhimpunan itu sebagai tanda protes kepada kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Katanya, ia adalah platform terbaik untuk menyatakan bantahan kepada sokongan Amerika Syarikat terhadap Israel yang terus melakukan pembunuhan terutama kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Bagi Adriana Ahmad, 31, perhimpunan itu bukan hanya menggambarkan kedudukan Malaysia yang terus menyokong Palestin tetapi ia merupakan suara umat Islam di seluruh dunia menentang penindasan terhadap rakyat Palestin. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!