Penduduk Cina catat kadar kelahiran rendah
SHAH ALAM - Penduduk Cina Malaysia mencatat kadar kelahiran yang sangat rendah kira-kira 40,000 kelahiran bayi Cina daripada keseluruhan 423,124 kelahiran iaitu tidak sampai 10 peratus pada tahun 2022.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, masalah tersebut disebabkan oleh ramai masyarakat Cina atau bukan Islam masih bujang atau tidak berkahwin.
Menurutnya, ia secara langsung akan memberi kesan kepada kadar kelahiran orang Cina atau bukan Islam.
"Saya tertanya-tanya, mengapa begitu sedikit bayi Cina yang dilahirkan? Jadi saya gunakan cuti CNY (Tahun Baharu Cina) untuk menggali isu ini lebih dalam. Apabila saya meneliti statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), saya dapati, Cina Malaysia bukan sahaja kurang bayi, perkahwinan juga kurang, kejutan berganda.
"Kurang perkahwinan, kurang bayi. Oleh itu, pada tahun naga ini, saya ingin menggesa masyarakat Cina untuk melihat masalah kurang perkahwinan," katanya menerusi laman Facebook.
Tambah Tze Tzin, walaupun kekal bujang adalah pilihan hidup sendiri, namun mereka yang cenderung untuk berkahwin harus digalakkan.
"Oleh itu, saya meminta kepada mereka yang bujang di luar sana, pergi keluar dan mencari cinta dan pasangan hidup anda.
"Sila berkahwin pada tahun naga yang bertuah ini. Ia satu perjalanan yang patut ditempuhi," jelasnya.
Dalam pada itu, turut memetik data perkahwinan pada 2021 yang mencatatkan perkahwinan dalam kalangan orang Islam sebanyak 2.7 kali ganda lebih banyak berbanding bukan Islam.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan data perkahwinan melibatkan masyarakat Cina memandangkan DOSM hanya mengeluarkan data perkahwinan untuk orang Islam dan bukan Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!