Ekspedisi mudik Sungai Pahang, Tengku Hassanal lakar sejarah Keluarga DiRaja Pahang

Al-Sultan Ahmad dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan selamat mengharungi cabaran ekspedisi buat Tengku Hassanal yang mengetuai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang bermula Ahad.
Al-Sultan Ahmad dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan selamat mengharungi cabaran ekspedisi buat Tengku Hassanal yang mengetuai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang bermula Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat mengharungi cabaran ekspedisi buat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengetuai Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang bermula Ahad.

Penglibatan Tengku Hassanal dalam Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang sejauh 400 kilometer (km) itu sekali gus melakar sejarah bagi Keluarga Diraja di Pahang akan kegemilangan Sungai Pahang sebagai pengangkutan utama sejak zaman dahulu.

Baginda berdua bertitah agar Tengku Hassanal menitikberatkan aspek keselamatan dengan sentiasa berwaspada sepanjang ekspedisi tersebut termasuk menjaga kesihatan dengan baik.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menitahkan supaya anakandanya sentiasa mendampingi dan menyantuni rakyat jelata.

"Bertanya khabar dan melihat sendiri bagaimana rakyat jelata menjalani kehidupan seharian. Mana yang boleh dibantu, harus diberi keutamaan.

"Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang ini sebenarnya mengimbau kembali sejarah paduka nenda, Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'azzam Shah yang memudik Sungai Pahang untuk ke Perak bagi meminang Tengku Ampuan Besar, Raja Fatimah Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah ketika itu," titah baginda berdua dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ekspedisi selama empat hari itu bermula di Pekan dan berakhir di Tanjung Gahai, Lipis menggunakan bot atau perahu kajang yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pengangkutan awam penduduk menggunakan sungai sebagai jalan perhubungan.

Baginda berdua mendoakan ekspedisi ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan sekali gus dapat membuka ruang kepada Tengku Hassanal untuk menghayati keindahan alam.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, dapat mengimbau sejarah dan warisan kegemilangan sungai Pahang serta menyantuni rakyat jelata di sepanjang Sungai Pahang.

Baginda berdua bertitah, Sultan Abu Bakar di zaman pemerintahannya sememangnya terkenal sebagai seorang sultan yang berjiwa rakyat.

Titah baginda berdua lagi, salah satu aktiviti tahunan baginda semasa hayatnya ialah menyusuri Sungai Pahang dan Sungai Tembeling untuk bertemu dan beramah mesra dengan rakyat jelata di seluruh negeri Pahang.

"Gambaran mengenai kembara itu ada dikisahkan oleh seorang penulis Inggeris bernama Peter Moss. Beliau dan Duta Besar Pakistan ke Malaya telah dijemput untuk turut serta dalam rombongan kembara Sultan Abu Bakar melawat ke pelosok kampung di sepanjang Sungai Pahang dengan menaiki perahu panjang pada Mei 1960.

"Buku bertajuk 'Distant Archipelagos: Memories of Malaya' dalam bab 'A Regal Progress' menceritakan pengalaman menyusuri Sungai Pahang bermula di Kuala Lipis iaitu pertemuan Sungai Lipis dan Sungai Jelai sehingga ke Kuala Tahan. Rombongan Sultan Abu Bakar disambut penuh meriah oleh penduduk kampung yang berada di sepanjang sungai," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertitah, di setiap kampung yang dilawati, Sultan Abu Bakar memeriksa dan bertanya keadaan sekolah serta klinik kesihatan, selain pertemuan bersama ketua kampung, imam dan pegawai-pegawai kerajaan.

Ini disusuli dengan jamuan kenduri secara besar-besaran dan pertunjukan acara serta tarian Mak Inang dan joget di atas pentas yang dibina khusus untuk menyambut rombongan diraja.

Antara kampung yang dilawati ialah Kampung Bantal dan Kampung Pagi selain beberapa perkampungan pesisir sungai lain di kawasan Taman Negara Kuala Tahan dan Kuala Tembeling.

Begitu juga dengan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah yang memerintah Pahang bagi tempoh 33 tahun iaitu dari 16 Ogos 1881 hingga 9 Mei 1914.

Baginda menjelajah seluruh negeri Pahang menerusi Sungai Pahang dan menaiki gajah.

Bagi peserta Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 yang membabitkan enam daerah iaitu Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis dinasihatkan mengutamakan aspek keselamatan dengan memastikan semua kelengkapan termasuk bot berada dalam keadaan baik.

Pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang mesti dalam keadaan siap siaga dan bersedia berdepan dalam apa juga cabaran dalam menjayakan ekspedisi ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!