8 perang paling berdarah pada abad ke-21

No Image Caption
A
A
A

SAINTIS politik Amerika, Francis Fukuyama pernah menyatakan tamatnya Perang Dingin menandakan berakhirnya sejarah era peperangan yang berpunca daripada perbezaan ideologi.

Beberapa dekad selepas itu, keganasan, konflik etnik, perang saudara dan hibrid terus berleluasa kerana mahu mempamerkan kuasa siapa yang lebih hebat, malah ada yang menjadikan krisis sedemikian sebagai tempat ujian ‘mesin perang’ tanpa mengira nyawa orang tidak berdosa yang mungkin menjadi korban.

Berikut adalah lapan perang berskala besar yang menghuru-harakan dunia pada abad kini.

1. Konflik Hamas-Israel

Israel menerima tamparan hebat selepas pejuang Hamas melancarkan Operasi Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023. Rejim Zionis bagaimanapun melancarkan serangan balas di bawah kempen pengeboman lebih ganas dan berlarutan selama lima bulan yang menyaksikan angka korban di Genting Gaza melebihi 30,000 orang. Wilayah terkepung itu turut dilanda krisis kemanusiaan yang dikhuatiri menjadi malapetaka dahsyat.

No Image Caption



2. Perang Rusia-Ukraine

Konflik antara dua negara bekas Kesatuan Soviet itu bermula pada Februari 2014 selepas Presiden pro-Kremlin, Victor Yanukovych disingkirkan, yang turut membawa kepada pengilhakan Crimea oleh Rusia setelah meraih sokongan puak pemisah pro-Moscow di wilayah timur Ukraine. Peperangan itu mencapai kemuncak pada 24 Februari 2022 setelah Rusia melancarkan ‘operasi khas’ ke atas Kiev dan berlarutan hingga kini. Ia telah meragut 31,000 nyawa tentera Ukraine.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

3. Perang Saudara Syria

Krisis yang bermula sejak Arab Spring pada 2011 itu tercetus selepas protes menuntut pengunduran Presiden Bashar al-Assad yang kemudiannya membawa kepada konflik dalaman tiada kesudahan di negara tersebut. Dianggarkan jumlah korban perang saudara itu antara 470,000 hingga 610,000 orang, sekali gus menjadi konflik paling berdarah pada era moden, selain al-Assad terus mengekalkan kuasanya.

No Image Caption

4. Konflik Darfur

Ia turut digelar sebagai Perang Land Cruiser. Konflik bersenjata di wilayah Darfur, Sudan bermula pada Februari 2003. Perang tersebut bermula apabila Gerakan Keadilan dan Kesaksamaan (JEM) serta Gerakan Pembebasan Sudan (SLM) menuduh pemerintah menindas populasi bukan Arab di negara itu. Konflik tersebut turut mencetuskan krisis kemanusiaan dan lebih dua juta penduduk hilang tempat tinggal.

No Image Caption

5. Perang Iraq

Konflik bersenjata di negara itu bermula dari 2003 hingga 2011 yang meragut ratusan ribu nyawa. Ia berpunca daripada kempen pencerobohan Amerika Syarikat (AS) yang menggulingkan bekas Presiden, Saddam Hussein. Selepas kejatuhan pemerintah tersebut, ia disusuli dengan gerakan penentangan terhadap kerajaan baharu, selain membantah kehadiran pasukan tentera asing di Baghdad.

No Image Caption

6. Perang Afghanistan

Kira-kira seminggu selepas tragedi 9/11, AS melancarkan serangan udara ke atas pejuang Taliban yang akhirnya digulingkan pada Disember 2001. Pemerintah baharu yang diiktiraf komuniti antarabangsa ditubuhkan tiga tahun kemudian. Kira-kira 30,000 anggota keselamatan Afghanistan dan 31,000 orang awam terkorban antara 2001 serta 2016.

No Image Caption

7. Pemberontakan Boko Haram

Penentangan Boko Haram bermula pada Julai 2009 yang menyaksikan penentangan terhadap pemerintah Nigeria. Ia dicetuskan oleh konflik agama antara penganut Kristian dan komuniti Muslim. Pada 2015, Kesatuan Afrika (AU) menghantar Pasukan Petugas Bersama Serantau (MNJTF) untuk memerangi ekstremisme bersenjata. Dianggarkan lebih 35,000 terbunuh dalam serangan dilancarkan Boko Haram antara 2009 dan 2020.

No Image Caption

8. Perang Saudara Yemen

Ia bermula apabila pejuang Huthi menguasai ibu kota Sanaa pada 2014 hingga memaksa campur tangan pakatan Arab untuk memerangi gerakan tersebut yang kekal berkuasa hingga kini, malah menjadi penyokong kuat perjuangan Palestin. Konflik berlarutan selama kira-kira lapan tahun telah meragut lebih 150,000 nyawa, selain kira-kira 227,000 orang berdepan masalah kebuluran teruk akibat krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!