Cuma jalani latihan ringan sebelum ke Brisbane - Azizulhasni
JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui hanya menjalani latihan ringan sebelum menyertai Kejohanan Kebangsaan Trek Berbasikal Australia 2024 baru-baru ini.
Namun ia tidak menghalang The Pocket Rocketman meraih pingat gangsa dalam acara keirin di Velodrom Anna Meares Brisbane, Australia pada Sabtu.
Beliau tekad menyertai kejohanan tersebut kerana memikirkan Sukan Olimpik Paris 2024 yang berbaki 144 hari biarpun dinasihatkan oleh doktor untuk berehat.
"Selepas Piala Negara-Negara Berbasikal Trek UCI di Adelaide tempoh hari (awal Februari) saya dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama tiga minggu oleh kerana masalah Pericarditis yang saya alami.
"Tidak banyak latihan yang saya dapat lakukan dan latihan ringan sahaja selama fasa tersebut.
"Namun oleh kerana memikirkan Sukan Olimpik Paris hanya berbaki lebih kurang lima bulan lagi, saya memilih untuk hadir juga ke perlumbaan ini.
"Ia bagi melihat keadaan prestasi semasa dan juga sebagai pentas untuk latihan perlumbaan," katanya menerusi catatan di Facebook pada malam Sabtu.
Pelumba berusia 36 tahun itu juga mengucapkan terima kasih kepada Australian Cycling kerana membenarkannya berlumba pada kejohanan kebangsaan mereka.
"Biasanya mana-mana negara tidak membenarkan negara lain untuk berlumba pada kejohanan kebangsaan mereka.
"Saya terharu kerana kehadiran saya di sini dialu-alukan oleh semua orang," katanya.
Azizulhasni turut mendedahkan tawaran untuk menyertai sebuah pasukan negeri apabila bersara kelak.
"Saya juga dipelawa oleh negeri Victoria untuk mewakili pasukan mereka bila bersara dari pasukan kebangsaan Malaysia selepas Olimpik Paris nanti. Boleh difikirkan," katanya.
Di sebalik menuju ke Paris beliau berharap rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan kesihatannya.
"Berbaki lima bulan sahaja lagi untuk ke Sukan Olimpik Paris dan saya berharap seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan agar tahap kesihatan saya akan terus meningkat.
"Terima kasih di atas sokongan anda semua" katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!