Dividen KWSP: Konvensional 5.5 peratus, syariah 5.4 peratus
SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan agihan dividen 2023 sebanyak 5.5 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.4 peratus untuk simpanan syariah.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, angka tersebut membabitkan agihan sejumlah RM50.3 bilion bagi konvensional manakala RM7.5 bilion untuk syariah.
Menurutnya, keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk 2023 berjumlah RM57.81 bilion.
"Bagi tahun berakhir 31 Disember 2023, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion, meningkat 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022.
"Jumlah ini selepas mengambil kira turun naik kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun berkenaan," katanya pada sesi taklimat prestasi kewangan KWSP di sini pada Ahad.
Sebagai rekod pada 2022, dividen dana persaraan itu ditetapkan pada paras 5.35 peratus membabitkan agihan berjumlah RM50.45 bilion bagi simpanan konvensional manakala 4.75 peratus atau RM6.27 bilion bagi simpanan syariah.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, sejumlah RM5.72 bilion daripada jumlah pendapatan pelaburan dijana daripada keuntungan 'mark-to market' (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.
Menurutnya, jumlah itu tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen.
Sementara itu Ahmad Zulqarnain berkata, aset pelaburan KWSP turut mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak RM1,135.82 bilion, meningkat 13 peratus berbanding RM1,002.67 bilion pada 2022.
"Peningkatan ini merangkumi pendapatan yang dijana daripada portfolio dan jumlah caruman diterima pada 2023 berjumlah RM97.56 bilion, naik 15 peratus berbanding RM84.78 bilion pada 2022," jelasnya.
INFO DIVIDEN KWSP
2017 - 6.90 % (konvensional), 6.40 % (Syariah)
2018 - 6.15 % (konvensional), 5.90 % (Syariah)
2019 - 5.45 % (konvensional), 5.00 % (Syariah)
2020 - 5.20 % (konvensional), 4.90 % (Syariah)
2021 - 6.10 % (konvensional), 5.65 % (Syariah)
2022 - 5.35 % (konvensional), 4.75 % (Syariah)
2023 - 5.5 % (konvensional), 5.4 % (Syariah)
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!