Kerajaan mampu kukuhkan semula ringgit - Penganalisis

Kelemahan ringgit berbanding dolar AS pada masa ini tidak dapat dielakkan berikutan kesan langsung daripada dasar terhad monetari AS. Gambar hiasan
Kelemahan ringgit berbanding dolar AS pada masa ini tidak dapat dielakkan berikutan kesan langsung daripada dasar terhad monetari AS. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelemahan ringgit berbanding dolar AS pada masa ini tidak dapat dielakkan berikutan kesan langsung daripada dasar terhad monetari Amerika Syarikat (AS), kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Muhammad Ridhuan Bos Abdullah.

Namun, katanya, usaha pengukuhan dan penyatuan fiskal secara berterusan yang dilaksanakan kerajaan mampu mengukuhkan semula ringgit dalam tempoh jangka masa panjang.

Muhammad Ridhuan berkata, empat kesan yang jelas dari dasar terhad monetari AS adalah aliran keluar modal, kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) yang tinggi, lonjakan nilai dolar AS dan penurunan nilai ringgit.

"Kita kena terima bahawa ini adalah kesan langsung dan tidak dapat dielakkan, tetapi apa yang lebih penting pada ketika ini adalah kerajaan perlu membuat keputusan sama ada memilih sekatan fiskal atau pengembangan fiskal bagi mengukuhkan ringgit dan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kerajaan harus mengambil pendekatan yang proaktif dalam melaksanakan agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing negara.

Seri Paduka bertitah ini penting bagi memastikan Malaysia muncul sebagai ekonomi mampan sejajar dengan keperluan semasa.

"Kerajaan juga perlu menyediakan insentif yang menarik dan memudahkan segala urusan melalui tadbir urus yang cekap dan dasar yang dibuat di peringkat Persekutuan,” titah Sultan Ibrahim.

Muhammad Ridhuan berkata, melihat dari aspek akademik dan teori ekonomi, kerajaan dilihat mempunyai pilihan dalam mengguna pakai ‘dasar mengurangkan perbelanjaan dan penukaran perbelanjaan’.

Artikel Berkaitan:

"Dasar pengurangan perbelanjaan mungkin tidak berapa digalakkan sebab akhirnya menyebabkan inflasi dan kadar pengangguran manakala dasar penukaran perbelanjaan mengguna pakai instrumen seperti tarif, serta kuota yang mempunyai kebaikan namun pada masa yang sama memberi kesan kepada peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kejatuhan nilai ringgit dan keperluan untuk mengambil pendekatan seimbang bagi mengekalkan keyakinan pelabur.

Terdahulu, Anwar menyatakan bahawa cadangan yang diberikan ketika nilai ringgit jatuh adalah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR), namun, tindakan ini boleh menyebabkan kadar faedah bagi pinjaman kenderaan, rumah dan pinjaman kepada peniaga kecil meningkat.

Muhammad Ridhuan berkata, berdasarkan dasar pengembangan monetari negara (kadar faedah) yang kini berada pada tiga peratus, ia dianggap sebagai neutral dan tidak dapat membantu meningkatkan pengeluaran.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 24 Januari 2024, memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus dalam mesyuarat pertamanya tahun ini.

"Kalau BNM masih mengekalkan OPR pada kadar yang dianggap menampung pertumbuhan, jadi kerajaan perlu lihat pada dasar fiskal dalam menentukan apakah sektor wang yang menyebabkan berlaku gangguan atau sektor perbelanjaan.

"Rakan dagang Malaysia mengecilkan saiz permintaan aggregat dan mengakibatkan export negara terjejas, bagaimanapun, kita mengharapkan senario ini sementara dan dasar monetari dan fiskal sedang diusahakan untuk memperbaiki gangguan itu,” katanya.

Sementara itu mengenai usaha Malaysia untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS, Muhammad Ridhuan berkata langkah tersebut adalah bagi tempoh jangka masa panjang memandangkan negara masih menggunakan dolar AS sebagai mata wang utama perdagangan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!