El Nino beri kesan kepada hasil pertanian
PENDANG - Fenomena El Nino yang sedang berlaku ketika ini memberikan kesan kepada hasil pertanian dan negara perlu bersedia menghadapi kesan cuaca lebih panas pada tahun 2025.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, agensi pertanian berkaitan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) disaran mencari langkah bagi mengatasi perkara berkenaan seperti kaedah pembajaan, jadual tanaman dan benih pertanian baharu.
Menurutnya, fenomena tersebut dilihat memberikan kesan apabila pengeluaran padi negara kekal pada kadar 62 peratus dan negara perlu mengimport 38 peratus beras import bagi menampung permintaan.
“Kesan cuca panas El Nino ini macam-macam datang sekarang, kesan cuaca panas melampau. Katanya ramalan 2025 keadaan akan paling panas, maka pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) perlu bersedia menghadapi waktu itu.
“Hasil padi Malaysia masih kira-kira 62 peratus lagi, umumnya keadaan cuaca panas ini sudah berlarutan tiga tahun melibatkan hasil padi tidak memberangsangkan, pengeluaran ada, tapi hasilnya pertengahan sahaja,” katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Penuaian Padi Projek SMART SBB Ala Sekinchan di Kampung Gulau pada Ahad.
Turut hadir Pengerusi Mada, Datuk Dr Ismail Salleh; Pengerusi Mardi, Dr Azman Ismail dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.
Mohamad berkata, kerajaan sedang berusaha memastikan pengeluaran padi negara dapat mencapai pada tahap 10 tan per hektar seperti yang dicapai di Sekinchan, Selangor dan Lat 1,000 di Perlis.
Tambahnya, lebih banyak kawasan tanaman baharu padi perlu dibuka seperti di Johor, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak bagi mencapai sasaran berkenaan.
“Di Lat 1,000 kita dapat 10 tan lebih, di Gulau kita dapat tujuh tan lebih sahaja. Walaupun capai matlamat, tapi sasaran kita semua kawasan tanaman dapat keluar hasil lebih tujuh tan agar kita boleh eksport beras.
“Untuk capai sasaran itu, maka Mada kena kaji jadual tanaman, Mardi kena kaji baja dan benih baharu yang mampu keluarkan hasil lebih banyak,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kerajaan akan mengumumkan keputusan perbincangan mengenai harga beras putih tempatan pada 20 Mac depan, selepas mendengar pandangan petani dan pemegang taruh industri padi serta beras pada Khamis lalu.
Jelasnya, dalam pertemuan dianjurkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) itu, kerajaan akan berusaha memastikan semua pihak termasuk pengguna, pengilang dan petani berpuas hati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!