Penduduk lega, gajah liar rosakkan kebun ditangkap
GUA MUSANG - Penduduk di Kampung Subong di sini akhirnya legas selepas seekor gajah jantan liar yang mengganggu tanaman dan kebun mereka berjaya ditangkap pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, ia susulan aduan kepada pihaknya pada 25 Februari lalu berkait gangguan 'awang besar' terbabit.
Menurutnya, bertindak atas aduan berkenaan, seramai lapan anggota dari Jabatan Perhilitan Gua Musang dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan telah menjalankan pemantauan seterusnya berjaya menangkap haiwan liar berkenaan.
"Tangkapan gajah liar ini sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan kampung tersebut.
"Ia juga dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami penduduk akibat kemusnahan tanaman dan harta benda kesan konflik gajah liar berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, operasi pemindahan dan pelepasan gajah terbabit ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.
Ujarnya, operasi pemindahan ini turut melibatkan kakitangan Jabatan Perhilitan Kelantan.
Mohamad Hafid menjelaskan, tindakan itu bertujuan mengurangkan konflik di kawasan berkenaan dan Perhilitan Kelantan telah dijalankan dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun agar mengambil langkah-langkah mitigasi.
Beliau berkata, ia termasuklah pemasangan lampu LED biru di laluan yang dikenal pasti, sentiasa membersihkan kebun dan membina sistem pagar elektrik gajah (SPEG).
"Jabatan juga ingin memaklumkan bahawa tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu penduduk bukanlah penyelesaian jangka panjang," katanya.
Menurut beliau, ia memandangkan kawasan kebun berkenaan berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri dan Sungai Terah.
Tambahnya, dipercayai anggaran populasi gajah liar yang berada di HSK ini adalah lebih daripada 30 ekor.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!