KSM kini dikenali sebagai Kesuma
PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah dijenamakan semula dan akan menggunakan akronim ‘Kesuma’, bagi sebarang urusan rasmi berkaitan kementerian itu bermula Isnin (4 Mac).
Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat (1 Mac), mengambil maklum dan bersetuju tentang penjenamaan semula KSM dengan singkatan Kesuma.
"Dalam dua bulan ini, selaras dengan misi strategik 3K, Kesuma telah memperkukuhkan kerjasama dengan kesatuan sekerja, melaksanakan pembaharuan ke atas institusi Mahkamah Perusahaan Malaysia, tegas memberi penekanan terhadap hak gaji pekerja dan meluaskan liputan skim keselamatan sosial.
"Ia termasuk meningkatkan kualiti latihan kemahiran serta melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan tata kelola di kesemua jabatan dan agensi kementerian,” menurut kenyataan kementerian itu, pada Ahad.
Kesuma dipetik daripada suku kata awal frasa setiap perkataan Kementerian Sumber Manusia (Ke.su.ma), yang merupakan perkataan lama dalam Bahasa Melayu yang bererti ‘bunga’.
"Keindahan maksud bahasa ini bersesuaian dengan misi strategik 3K kementerian, yakni memperkasakan Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan pekerja,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!