Harapan baharu gencatan senjata di Gaza?
GENTING GAZA - "Israel secara umumnya bersetuju untuk menerima pelaksanaan gencatan senjata selama enam minggu bagi meredakan peperangan di Genting Gaza."
Kenyataan itu diberikan pegawai Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu ketika rundingan untuk menguatkuasakan tempoh bertenang masih diteruskan di Kaherah.
Negara perantara sedang berhempas-pulas untuk memastikan gencatan senjata dapat dilaksanakan sebelum ketibaan Ramadan pada minggu depan berikutan situasi yang semakin meruncing setelah peperangan berlarutan selama lima bulan.
“Ia akan ditentukan jika Hamas sedia membebaskan tawanan berisiko termasuk warga emas. Sekarang hanya menunggu respons Hamas,” ujarnya.
Sumber berkenaan juga memaklumkan pejuang bumi Gaza itu akan memberikan jawapan rasmi berhubung pelan itu yang diputuskan daripada hasil rundingan di Paris pada akhir bulan lalu.
Hamas dalam satu kenyataan memberitahu, gencatan senjata dapat dilaksanakan dalam tempoh 24 hingga 48 jam jika Israel akur dengan tuntutan mereka.
Perkembangan proses itu diumumkan beberapa jam selepas pesawat kargo tentera AS mula menggugurkan bantuan kemanusiaan pertama di Gaza.
Pusat Perintah AS (CENTCOM) berkata, bantuan itu termasuk kira-kira 38,000 bungkusan makanan yang bertujuan untuk meringankan penderitaan penduduk Gaza setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran tentang ancaman kebuluran di enkflaf tersebut.
Beberapa negara Arab dan pemerintah Eropah dikatakan telah melaksanakan operasi serupa di Gaza sejak November lalu.
Kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap malapetaka kemanusiaan di wilayah itu semakin meningkat selepas sekurang-kurangnya 13 kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi. - AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!