'Happy hour' PJR tawar harga istimewa buat pengunjung
MARAN - Harga pensel warna serendah RM5 serta minyak masak lima kilogram bernilai RM20 antara barangan yang menjadi tumpuan pengunjung di Karnival Jualan Rahmah Madani Peringkat Negeri Pahang 2024 pada Ahad.
Harga istimewa itu antara tarikan sempena 'happy hour' membabitkan pelbagai barangan antaranya beg sekolah, ayam, beras serta kicap yang ditawarkan sempena karnival yang dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh di Dataran Anjung, Pusat Bandar Jengka dekat sini.
Hadir sama,Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, Jezlily Jamaluddin.
Turut menjadi tumpuan dalam karnival itu, jualan 'Kembali Ke Sekolah' yang menawarkan jualan pakaian, kasut sekolah serta peralatan persekolahan dengan harga 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.
Seorang pembantu kedai, Norin Farazila Fadzil, 37, menyifatkan jualan itu banyak mengurangkan beban ibu bapa.
"Hari ini saya berpeluang mendapatkan keperluan seperti pakaian sekolah anak dengan harga murah berbanding biasa," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mohd Shahfarin Saidan, 37, dari Felda Jengka 24 itu turut memuji usaha jualan kembali ke sekolah dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu, Fuziah berkata, pihak kementerian telah melaksanakan 6,870 Program Jualan Rahmah (PJR) melibatkan 222 Parlimen dan 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara pada tahun lepas dengan 9.2 juta pengunjung direkodkan dalam tempoh tersebut.
"Untuk peringkat negeri pula pada tahun lepas sebanyak 486 PJR di seluruh 14 parlimen dan 42 DUN telah diadakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!