Maklumat kebakaran Australia didakwa salah
CANBERRA - Gambar dan peta kebakaran belukar dahsyat di Australia kini tersebar meluas di media sosial selepas krisis itu meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa.
Kebanyakan pengguna berkongsi gambar kejadian itu untuk meningkatkan kesedaran terhadap impak kebakaran tersebut, namun beberapa peta yang menjadi tular didakwa menyebarkan maklumat salah tentang krisis berkenaan.
Sebuah imej yang dikongsi secara meluas termasuk penyanyi terkenal, Rihanna dilihat memaparkan keadaan kebakaran yang semakin merebak.
Bagaimanapun, gambar tersebut didakwa adalah hasil visualisasi artis tempatan, Anthony Hearsey tentang data lokasi selama sebulan di mana kebakaran itu dikesan yang dikumpulkan oleh Sistem Maklumat Kebakaran untuk Sistem Pengurusan Sumber Agensi Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA).
"Skala itu sengaja dibesar-besarkan, namun ia adalah maklumat yang diperoleh daripada laman NASA. Tidak semua kawasan masih terus terbakar dan gambar itu adalah satu kompilasi," kata Hearsey di Instagram sebagai respons terhadap kritikan pengguna media sosial yang mendakwa imej tersebut mengelirukan.
Satu lagi peta yang menggunakan data satelit untuk memetakan sumber haba diambil daripada laman kerajaan, MyFireWatch memaparkan ikon api di seluruh Australia untuk menunjukkan kebakaran kini melanda kesemua kawasan.
Data itu didakwa menggabungkan sumber haba lebih panas daripada persekitarannya.
Satu lagi maklumat yang mengelirukan adalah simbol titik panas yang dikatakan tidak mewakili saiz sebenar kebakaran dan butiran penting daripada maklumat asal yang tidak lengkap.
Selain itu, beberapa pengguna juga menyatakan kebakaran yang didakwa merebak ke benua lain seperti Amerika Utara dan Eropah juga tidak semuanya tepat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!