Dividen KWSP kukuh beri keyakinan kepada pekerja
SHAH ALAM - Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2023 yang kekal kukuh memberikan keyakinan kepada pekerja tentang pelaburan mereka dalam simpanan KWSP.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, peningkatan dividen simpanan syariah kepada 5.40 peratus berbanding hanya 4.75 peratus pada tahun lepas juga boleh menarik lebih ramai pencarum untuk memilih simpanan syariah pada masa akan datang.
“Peningkatan dividen syariah ini adalah satu berita baik untuk pencarum kerana ia menunjukkan prestasi pelaburan KWSP tetap cemerlang dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi global.
“Dengan kestabilan dividen yang diumumkan, ia memberi petunjuk pertumbuhan ekonomi yang semakin stabil dan meningkat.
“Kami percaya dengan adanya pertumbuhan ekonomi yang stabil akan meningkatkan lagi peluang pekerjaan, secara tidak langsung akan menambah jumlah ahli pencarum,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
KWSP mengumumkan agihan dividen 2023 sebanyak 5.5 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.4 peratus untuk simpanan syariah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, angka tersebut membabitkan agihan sejumlah RM50.3 bilion bagi konvensional manakala RM7.5 bilion untuk syariah.
Tambah Mohd Effendy, komitmen KWSP untuk mempertahankan dividen yang kukuh memberikan kepastian kepada pekerja mengenai pertumbuhan simpanan pekerja dalam jangka panjang, terutama simpanan hari tua.
“Ia bagi memastikan setiap pencarum mempunyai jumlah simpanan sekurang-kurangnya sekitar RM240,000 apabila bersara nanti.
“Bagi pihak pekerja, kami ingin merakam penghargaan terima kasih dan tahniah kepada pengurusan KWSP yang sentiasa memastikan peningkatan dividen setiap tahun dengan memiliki skala ekonomi yang lebih mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM1.1 trilion, menjadikan KWSP kekal sebagai pelabur terbesar di pasaran domestik,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!