Jenazah empat beranak dikebumikan satu liang lahad
TANJUNG MALIM - Jenazah empat beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, Kelantan pada Sabtu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.
Syukran Jamil Ab Hamid dan isteri, Noor Aishah Razali masing-masing berusia 35 tahun bersama dua anak mereka, Ahya Rafiqi, 6, dan Lufya Adeena berusia setahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara dekat Sungkai di sini sekitar jam 11 malam Ahad.
Tiga van yang membawa semua jenazah tiba di kediaman keluarga di Felda Trolak Utara sekitar jam 9.30 malam untuk diberi penghormatan terakhir oleh lebih 500 ahli keluarga dan kenalan yang hadir.
Jenazah kemudiannya disembahyangkan di Masjid Jamek Al-Ridhuaniah sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 200 meter dari masjid untuk disemadikan.
Suasana hiba dan pilu mengiringi pengebumian terutama ketika Attar Azim Syukran Jamil, 9, satu-satunya anak mangsa yang terselamat dalam kemalangan itu menyiram air di atas kuburan ahli keluarganya.
Dalam kejadian jam 1.40 petang itu, Syukran Jamil bersama Noor Aishah dan Lufya Adeena disahkan terkorban di lokasi kejadian, manakala Ahya Rafiqi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.
Attar Azim yang turut terlibat dalam kejadian itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang bertembung dengan sebuah Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluan dari arah bertentangan.
Kesemua mereka semasa kejadian dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi ahli keluarga dan bercuti di Kota Bharu, Kelantan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!