Mengaji al-Quran sambil nikmati keindahan alam
SHAH ALAM - Eco-Quranic Nature mengambil pendekatan mengadakan kelas mengaji al-Quran di luar bilik kuliah sambil menikmati alam semula jadi.
Pengasasnya, Muhammad Amrun Ruzali berkata, program santai itu diperkenal sejak beberapa tahun lalu bagi menarik lebih ramai orang mendekati al-Quran.
Menurutnya, selain belajar al-Quran peserta turut diselitkan aktiviti sampingan lain seperti penanaman pokok dan treasure hunt (meredah hutan).
“Program ini telah diadakan di Hutan Semungkis, Hulu Langat untuk pelajar semasa musim cuti sekolah selain di Kebun Puisi, Kajang bagi golongan dewasa.
“Ini bagi menjadikan pembelajaran al-Quran ini lebih menarik dan berterusan serta tidak tamat selepas habis waktu kuliah sebaliknya mahu diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya kepada Sinar Harian.
Muhammad Amrun yang juga merupakan seorang guru di sebuah sekolah agama di Kajang berkata, kaedah itu dilihat bertepatan dengan perkembangan semasa apabila kebanyakan orang gemar mencari ketenangan di lokasi dekat dengan alam semula jadi.
“Sambil santai boleh selitkan dengan belajar al-Quran. Kebun Puisi sebagai contoh sesuai dilaksanakan konsep ini kerana dilengkapi dengan kawasan lapang untuk anak-anak melakukan aktiviti, kafe serta ruang untuk belajar secara berkumpulan.
“Pembelajaran di luar kelas ini juga menarik kerana biasanya saya akan buat penerangan ayat al-Quran terpilih serta dikaitkan dengan alam sekeliling contohnya berkaitan isu perubahan iklim,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Amrun berkata, selain belajar di luar kelas, teknik pembelajaran turut menggunakan kaedah simbol untuk pemahaman tajwid.
“Kaedah ini mudah difahami terutama untuk orang dewasa yang baharu nak belajar asas Iqra’ dan apabila berpindah ke al-Quran mereka sudah tahu bacaan tajwid betul.
“Modul ini disesuaikan mengikut kategori. Ada program dibuat semasa cuti sekolah sahaja dan ada juga kelas dibuat secara berkala seminggu sekali,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!