Tiga lelaki warga asing maut dilanggar komuter
KAJANG - [DIKEMAS KINI] Tiga lelaki warga asing maut akibat dilanggar tren komuter di landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Taman Puncak Utama Jade Hill, di sini, pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.53 malam dan seramai lima anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dikejarkan ke lokasi kejadian.
``Kesemua mangsa berusia 30-an hingga 40-an itu disyaki menceroboh laluan tren komuter berkenaan. Akibat pelanggaran itu, kesemua mangsa tercampak ke sisi laluan komuter tersebut,'' katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir berkata, dua anggota polis bantuan KTMB telah menjumpai kesemua mangsa itu di kilometer 408.029 laluan KTM Serdang ke Kajang.
"Pemeriksaan terhadap dokumen pengenalan diri yang dijumpai mendapati dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Myanmar yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes iaitu Sarjan Ariffin di talian 012-2444608 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!