Foden pemain versatil - Guardiola
PEP Guardiola memuji karakter hebat Phil Foden ketika membantu Manchester City bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan jiran tetangga, Manchester United 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi Isnin.
Beliau menyifatkan Foden sebagai pemain yang berbakat besar, versatil dan matang.
"Ia mengenai jumlah perlawanan yang diharunginya. Dia sudah lama mempunyai bakat tetapi kini dia lebih matang dan memahami perlawanan lebih mendalam, terutamanya ketika bertahan.
"Dia boleh bermain di tengah, kanan, mencetus momen dan memecah masuk, bermain di kiri, menjaringkan gol dari sebelah kiri.
"Apa yang boleh saya katakan? Dia pemain terbaik Liga Perdana ketika ini dengan jumlah sumbangan yang diberikannya. Luar biasa," ujar Guardiola.
Dalam aksi itu, United terlebih dahulu di depan menerusi jaringan cantik Marcus Rashford pada minit kelapan.
City bagaimanapun bangkit menerusi dua gol Foden pada minit ke-56 serta 80 dan pemain sensasi, Erling Haaland melengkapkan kemenangan The Citizens menerusi jaringan pada masa kecederaan.
Guardiola terus memuji Foden apabila melabelkan pemain itu sebagai legenda, biarpun usianya masih muda.
"Foden sudah pun menjadi pemain legenda kerana pada usia muda, gaya permainannya yang matang dan gol yang dihasilkan. Hubungan dengan peminat amat menakjubkan.
"Dia adalah pemain terbaik musim ini. Tiada siapa yang lebih banyak menentukan keputusan perlawanan buat kami musim ini," ujar Guardiola.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!