Bekas bendahari masjid tidak mengaku salah guna wang RM12,000

Syaharullah (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin atas pertuduhan menyalahgunakan wang masjid berjumlah RM12,000.
Syaharullah (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin atas pertuduhan menyalahgunakan wang masjid berjumlah RM12,000.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang bekas bendahari masjid Kampung Sri Machap di Kluang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyendi sini pada Isnin bagi pertuduhan menyalahgunakan wang milik masjid berjumlah RM12,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Syaharullah Ismail, 44, minta dibicarakan selepas membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, pemandu lori itu didakwa dengan menyalahgunakan wang milik masjid di kampung terbabit berjumlah RM12,000.

Perbuatan itu dilakukan pada jam 9.17 malam di sebuah bank di Bangunan Tabung Haji, Jalan Dato' Kapten Ahmad, pada 12 November 2022.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Pemandu lori itu boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Zahida Muhammad Rozi manakala tertuduh diwakili peguam lantikan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.

Nur Zahida memohon tawaran jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM cawangan Kluang sekali sebulan.

Artikel Berkaitan:

Bharathi dalam rayuannya memohon jaminan RM5,000 terhadap anak guamnya memandangkan pendapatannya tidak menentu kira-kira RM1,500 manakala isteri bekerja sebagai guru dan mempunyai tiga anak berusia 13 hingga empat tahun yang bersekolah.

Hakim membenarkan pemandu lori terbabit diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di pejabat SPRM cawangan Kluang sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 8 April ini sebagai sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!