Mangsa scammer: Kerani akaun rugi RM30,000

Rani menunjukkan laporan polis yang dibuat.
Rani menunjukkan laporan polis yang dibuat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kerani akaun mengalami kerugian RM30,000 selepas ditipu beberapa individu menerusi panggilan telefon.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Rani, 30-an menerima panggilan telefon menerusi talian pejabatnya yang memaklumkannya tidak hadir ke mahkamah di Alor Setar, Kedah atas perbicaraan kes melibatkan dirinya.

Menurutnya, panggilan itu meminta nombor telefon bimbit dan nombor kad pengenalannya sebelum disambung kepada individu lain yang mengaku dari mahkamah.

“Individu berkenaan memaklumkan nama saya didaftarkan atas nama syarikat dan saya disabitkan kesalahan tunggakan cukai lebih RM17,600.

“Kerana tidak hadir ke mahkamah, individu itu menyebut akan mengeluarkan surat perintah,” katanya kepada Sinar Harian.

Tidak terhenti di situ, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain pula yang mengaku anggota polis berpangkat sarjan dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Kedah.

“Dia minta saya mencatat apa maklumat yang ingin dinyatakan, malah meminta saya caj telefon bimbit kerana perbualan itu dirakam dan mengambil masa lama serta talian tidak boleh terputus.

“Saya panik dan terkejut dan percaya kerana panggilan awal adalah nombor telefon pejabat yang disambungkan kepada pelbagai pihak lain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun terdetik rasa hairan, tetapi dia masih meneruskan perbualan sebelum disambungkan talian kepada seorang lelaki yang dikatakan berpangkat Datuk dan merupakan ketua kepada anggota polis tersebut.

“Datuk tersebut bertanya berapa simpanan wang yang saya ada dalam bank. Dengan rasa bersalah dan takut, saya beritahu jumlahnya, dia minta saya pindahkan wang ke akaun seorang wanita berjumlah RM30,000.

“Bukan hanya cukai, saya dikatakan terlibat dengan kes pengubahan wang haram bersama seorang lelaki dan lelaki itu telah ditangkap,” ceritanya.

Apabila mendengar perkara itu, ditambah dengan waran tangkap, Rani terus takut.

“Katanya, saya akan direman. Saya pun segera pindahkan wang RM30,000 ke akaun yang diberikan pada hari sama.

“Datuk tu juga minta saya pindahkan RM10,000 lagi ke akaun lain, tapi tak dapat kerana ada masalah. Dalam masa sama, saya bertanya majikan mengenai masalah tu, terkejut betul saya bila dikatakan itulah scammer,” katanya.

Tambahnya, majikan bergegas membantunya ke bank dan pihak bank meminta Rani membuat laporan polis.

“Saya buat laporan polis di Balai Polis Johor Jaya pada hari sama kira-kira jam 3.26 petang sebelum kembali semula ke bank.

“Pihak bank hanya minta saya isi borang dan memaklumkan segalanya akan diserahkan kepada pihak berkuasa walaupun saya mempunyai nama dan nombor akaun yang telah saya pindahkan wang itu,” katanya yang khuatir kerana wang yang dipindahkan itu sebahagiannya adalah miliknya dan sebahagian lagi adalah milik keluarganya untuk bercuti ke India pada tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!