KAFA bakal miliki lesen kelab dalam masa terdekat

Husin Deraman
Husin Deraman
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) bakal memiliki lesen kelab dalam masa terdekat bagi melayakkan pasukan The Red Warriors (TRW) beraksi pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 terutama Liga Premier musim ini.

Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, ia berikutan langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang turun padang bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh KAFA sebelum ini terutama membabitkan aspek pelesenan.

"Kami boleh menarik nafas lega apabila pihak FAM turun padang dalam membantu menyelesaikan isu lesen yang dihadapi sebelum ini.

"Bantuan dan tunjuk ajar oleh sekretariat FAM itu memberikan kelegaan kepada kami dalam memenuhi segala aspek berkaitan isu pemilikan lesen bagi Liga Premier," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menggantung lesen kelab Kelantan susulan beberapa masalah yang perlu diselesaikan persatuan itu antaranya melibatkan hutang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Husin berkata, FAM turut membantu KAFA memenuhi syarat Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dalam pengurusan pasukan.

"KAFA amat berterima kasih kepada FAM atas bantuan serta tunjuk ajar itu dan kami akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan segala peraturan untuk mendapatkan lesen dipenuhi.

"Jika semuanya berjalan lancar berkemungkinan KAFA akan diberikan lesen dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lesen kelab penting kepada pihaknya bagi membolehkan pasukan TRW beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini.

"Saya harap para penyokong berdoa agar segala usaha KAFA berjalan dengan lancar," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!