Kastam rampas 28 kenderaan mewah 'lari cukai'
IPOH - Sebanyak 28 kenderaan mewah pelbagai model melibatkan cukai bernilai lebih RM10.4 juta disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam operasi di 12 lokasi berasingan sekitar Perak dan Selangor sejak Januari lalu.
Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, rampasan kenderaan antaranya Lamborghini, Porche dan Mercedes itu dilakukan selepas disyaki telah melanggar syarat pengecualian cukai.
"Kenderaan terbabit dirampas di premis dan syarikat terlibat. Sepatutnya kenderaan ini disimpan di gudang berlesen yang diluluskan.
"Sebuah lagi kenderaan daripada Langkawi dikesan berada di Semenanjung Malaysia melebihi 90 hari yang dibenarkan," katanya dalam sidang media di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Perak di Ipoh pada Isnin.
Menurut beliau, 11 individu disyaki pemilik kenderaan dan syarikat berusia 40 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
"Siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti sama ada kesemua kenderaan tersebut mempunyai permit import atau tidak.
"Kes ini disiasat mengikut seksyen 135 (1)(d), Seksyen 133 (1)(a) dan Seksyen 138 Akta Kastam 1967," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!