Perbezaan politik diraikan, perseteruan politik dihadkan - Sultan Sallehuddin
ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar kerjasama dua hala antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan diwujudkan dengan baik agar peranan negeri dalam arus pembangunan nasional dapat diberikan perhatian.
Baginda bertitah, dalam memastikan sistem demokrasi berfungsi dengan baik, perbezaan politik perlu diraikan, sementara perseteruan politik perlu dihadkan.
Sultan Sallehuddin juga percaya kematangan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan kewibawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat memastikan perancangan negeri dapat dilaksanakan.
“Suara negeri khususnya dalam aspek pembangunan perlu didengari di peringkat Persekutuan. Tanpa kesepakatan antara negeri dan Persekutuan, negara tidak ubah seperti ‘House of Cards’, nampak gah, namun goyah,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15, di Wisma Darul Aman di sini pada Isnin.
Turut berangkat sama, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Sultan Kedah turut menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk mencapai sasaran hasil RM1 bilion menjelang tahun 2028 yang disifatkan sebagai langkah tepat.
“Dalam melaksanakan agenda Pelan Pembangunan Kedah 2035 (Kedah 2035), selain penglibatan pihak swasta, kekuatan fiskal kerajaan negeri memainkan peranan penting. Ini supaya negeri mempunyai ruang yang lebih untuk mencatur sendiri arah pembangunan negeri,” titah baginda.
Baginda bertitah, usaha kerajaan negeri untuk menerokai hasil baharu berkaitan tanah dilihat memberi komitmen tinggi terhadap agenda tersebut.
“Kerajaan Negeri juga harus perkasakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai agen pembangunan dan penyumbang hasil negeri.
“Tidak seperti pentadbiran tanah dibatasi undang-undang, melalui perniagaan dan pasaran ekonomi yang bebas, GLC tidak mempunyai sekatan untuk menerokai peluang perniagaan dan menjana keuntungan baharu,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin berharap GLC turut menggalas agenda sasaran RM 1 bilion kutipan hasil melalui perkongsian semula hasil keuntungan diperolehi.
“GLC perlu rangka strategi untuk jalankan perniagaan melangkaui sempadan negeri khususnya di peringkat nasional dan global dalam memperkasakan model perniagaan agar memberi keuntungan,” titah baginda.
Sultan Kedah juga menyarankan sebuah perancangan fiskal dan kewangan yang lebih tersusun dapat dirangka bagi menggerakkan agenda penambahan hasil negeri secara menyeluruh.
“Ciri dinamik yang diterapkan dalam Kedah 2035 perlu disesuaikan dengan keperluan pembangunan baharu ke arah mencapai The Greater Kedah.
“Bagi menjayakan agenda yang dirancang, penjawat awam harus berfikiran positif dan progresif, bukan terlalu selesa dengan amalan kelaziman,” titah baginda.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!