KPM tangani isu keciciran murid

Azman menyampaikan amanat pada majlis Amanat KPPM Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2024/2025 yang diadakan pada Isnin. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Azman menyampaikan amanat pada majlis Amanat KPPM Sempena Pembukaan Sesi Persekolahan 2024/2025 yang diadakan pada Isnin. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus menekankan usaha untuk menangani isu keciciran murid menerusi pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, setiap warganegara ini berhak mendapat akses pendidikan berkualiti tanpa latar belakang.

"Sekolah Dalam Hospital (SDH) merupakan satu inisiatif antara KPM bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya menerusi ucapan pada Amanat Ketua Pengarah di sini pada Isnin.

Menurut beliau, kementerian juga turut bekerjasama dengan Jabatan Penjara untuk menyediakan peluang pendidikan akademik yang dikenali sebagai Pendidikan Korektif bagi penghuni yang berminat untuk meneruskan pembelajaran.

"Keperluan menimba ilmu pengetahuan ini juga merupakan persediaan kepada mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup setelah bebas daripada penjara," tegasnya.

Ujar Azman, peluang pendidikan yang diberikan itu adalah sebagai pengukuhan kendiri bagi mereka agar mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik.

Azman. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Azman. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

"Penyediaan Pendidikan Korektif kepada penghuni penjara bukan sahaja untuk memastikan tahap pendidikan setiap penghuni diperluaskan secara sukarela malah usaha ini dijalankan bagi membolehkan mereka menikmati pemulihan bersepadu dan pendidikan yang lebih formal termasuk menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pendidikan Malaysia (SPM)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sistem pendidikan di penjara juga memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan ilmu melalui program pendidikan sejajar dengan dasar pendemokrasian pendidikan yang ditetapkan oleh KPM selain dasar Pendidikan Untuk Semua diperjuangkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Dalam usaha menangani isu keciciran sebagaimana ditekankan dalam pelaksanaan Teras Keempat dalam Teras Nadi Keunggulan, KPM juga akan memberikan

perhatian kepada isu keciciran pendidikan serta masalah literasi dan numerasi supaya jurang pendidikan yang wujud dapat dirapatkan," katanya.

Beliau berkata, kementerian turut memberikan perhatian kepada anak-anak yang kurang bernasib baik melalui pewujudan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).

"Konsep SBJK yang diperkenalkan bawah Dasar Pendidikan Wajib adalah bagi memastikan kanak-kanak warganegara tanpa dokumen, termasuk golongan rentan di kawasan bandar tidak terus tercicir dari arus pendidikan," jelas beliau.

Tambahnya lagi, sebagai usaha membasmi keciciran dalam kalangan murid terutamanya di kawasan pedalaman disebabkan faktor seperti jarak rumah ke sekolah, keadaan muka bumi yang

mencabar serta kemiskinan, Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan K11 merupakan inisiatif strategik KPM yang menyediakan peluang pendidikan bermula dari Prasekolah hingga tamat Tingkatan 5 dalam sekolah yang sama.

Dalam pada itu, beliau berkata konsep karamah insaniah yang menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti menjadi tunjang dalam usaha membangunkan Kurikulum Persekolahan 2027.

Hal ini adalah selari dengan Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Tiga pendekatan baharu akan diperkenalkan dalam Kurikulum Persekolahan 2027 melibatkan pendidikan karakter, penekanan literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu," jelasnya.

Kurikulum Persekolahan 2027 menggunakan pendekatan pendidikan karakter dan berfokuskan kepada pembelajaran sosioemosi secara amali bermula dari prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas.

Dalam masa yang sama beliau berkata, KPM peka dengan isu berkaitan keciciran pembelajaran dan akan mengukuhkan intervensi kurikulum semasa.

"Kementerian akan melihat antaranya keperluan menyesuaikan pendekatan pembelajaran mata pelajaran utama khususnya di tahap 1, menambah baik deskriptor tahap penguasaan dalam pentaksiran dan keperluan saringan awal berkaitan literasi numerasi dalam kalangan murid yang semuanya akan digerakkan melalui pasukan petugas berkaitan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!