Hot Daddy, dua rakan wanita didakwa lagi, jual video lucah

Hasli Ikhwan (kanan) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin bagi menghadapi satu pertuduhan menjual video lucah, dua bulan lalu.
Hasli Ikhwan (kanan) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Isnin bagi menghadapi satu pertuduhan menjual video lucah, dua bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bapa kepada tiga anak, yang tular di media sosial sebagai ‘Hot Daddy’ bersama dua rakan wanitanya berhubung video tidak bermoral, didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan menjual video lucah, dua bulan lalu.

Dua penganggur iaitu, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, dan Norhidayah Mahadi, 24, manakala pengurus syarikat swasta, Norshazrina Md Zamri, 27, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Nurul Izzah Shaharuddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menjual rakaman video lucah bagi maksud menunjukkan secara awam, di Pejabat Siasatan Jenayah D7 (Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman di sini, antara jam 11.47 dan 11.54 malam, 15 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Hasli Ikhwan dan Norhidayah yang memakai baju berwarna hitam, didakwa atas satu pertuduhan memiliki bahan lucah yang bertentangan dengan kesopanan awam, di pejabat D7 Ibu Pejabat Daerah Polis Wangsa Maju, di sini, pada jam 4 petang, 22 Januari lalu.

Dua tertuduh ini boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman denda antara RM10,000 dan RM50,00 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim, Siti Aminah Ghazali membenarkan setiap tertuduh ini diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Dalam dua kes itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Sheryn Yong Shi Yee manakala Hasli Ikhwan diwakili peguam, Mohammed Hissham Ramdzan sementara peguam, Nurul Aeir Muhammad Harvian Kamar untuk dua tertuduh wanita terbabit.

Pada 26 Januari lalu, Hasli Ikhwan dan dua rakan wanitanya, Norhidayah serta pengurus syarikat swasta, Norshazrina Md Zamri, 27, didakwa masing-masing atas satu pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X di Pejabat D7 (Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman di sini, pada jam 10.10 pagi, 16 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki dikesan menjalankan aktiviti menjual rakaman video seksnya dengan lebih 20 wanita pelbagai bangsa menerusi laman sosial ditahan di Janda Baik, Pahang.

Suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Bukit Aman di sebuah rumah di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, pada jam 2.30 petang, 17 Januari lalu.

Dalam serbuan sama, polis menahan dua teman wanitanya di rumah yang turut didiami oleh bapa lelaki terbabit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!