Gerakan mahasiswa tuntut pindaan ditarik balik, AUKU dimansuhkan
SHAH ALAM - Gerakan-gerakan mahasiswa menuntut kerajaan menarik balik pindaan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan mahu peruntukan sedia ada juga dimansuhkan supaya segala isu kampus di setiap universiti dapat dibanteras.
Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Ten Kang Yeaw berkata, jawatankuasa memansuhkan AUKU perlu dihentikan serta-merta dan menarik balik pindaan AUKU semasa.
Menurutnya, pindaan tersebut didakwa gagal membawa perubahan bermakna dan sebaliknya mengancam kebebasan dan autonomi pelajar.
"Saya juga menggesa agar garis panduan aktiviti hiburan dihentikan dan menekankan keperluan segera dalam menangani isu sistem rangkaian dan kemudahan dalam universiti.
"Kerajaan Perpaduan yang sentiasa mendakwa memperjuangkan pembaharuan tidak mempunyai alasan untuk tidak memulihkan jawatankuasa itu.
"Jika kerajaan gagal berbuat demikian maka kerajaan tidak mahu melakukan pembaharuan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sebelum itu, beliau dalam sidang akhbar di Parlimen membuat empat tuntutan berkaitan AUKU iaitu mahu Kementerian Pengajian Tinggi memulihkan Jawatankuasa Mansuhkan AUKU dengan segera serta menarik balik pindaan AUKU sedia ada dan merangka pindaan baharu berdasarkan tuntutan-tuntutan mahasiswa.
Antara lain yang dituntut agar kementerian itu juga menarik balik garis panduan aktiviti hiburan IPT dan tindakan segera dalam menangani masalah sistem rangkaian dan fasiliti setiap universiti.
Sementara itu, Presiden Suara Siswa Universiti Malaya, Abqari Annuar turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pindaan AUKU 1971 yang mengkritik kurangnya autonomi kewangan dan pentadbiran yang sahih untuk organisasi pelajar.
"Pindaan itu hanya memberikan autonomi nominal sambil mengekalkan kawalan Lembaga Universiti dan kementerian.
"Mesti ada dalam mana-mana pindaan yang dicadangkan kepada AUKU ialah mengiktiraf kesatuan pelajar dan Jawatankuasa Pemilihan Kampus (CEC) sebagai entiti undang-undang di bawah AUKU, menubuhkan kesatuan pelajar di semua universiti, membolehkan pilihan raya kampus dijalankan sepenuhnya oleh pelajar, melibatkan wakil pelajar dalam Jawatankuasa Tatatertib Pelajar dan meningkatkan jumlah wakil pelajar di senat universiti," katanya.
Naib Presiden UMANY, Lai Yue Yi menyatakan bahawa pengenalan Garis Panduan Konsert Universiti yang digubal di bawah AUKU menyekat hak dan autonomi pelajar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!