Tyzo sah sertai IKIMfm
[DIKEMAS KINI] INSTITUT Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengumumkan Tyzo sebagai penyampai radio IKIMfm mulai Isnin depan.
Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris akan mengendalikan segmen Inspirasi Pagi yang ke udara jam 6 hingga 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat.
Penyampai radio sensasi itu akan bergandingan dengan penyampai Suffian Amrin dan Luqman Hakim sepanjang minggu.
Ketika berkongsi perkara tersebut, Tyzo berkata beliau berbesar hati diberi peluang untuk berada di pentas IKIMfm.
"Selepas dua bulan tidak bersiaran, saya rasa berdebar," katanya pada majlis penjenamaan semula dan pelancaran logo IKIMfm di sini pada Isnin.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.
Jelas Tyzo, pemilihan IKIMfm dimuktamadkan selepas empat tawaran diterima daripada stesen radio berbeza.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas beberapa siri perbincangan bersama pihak IKIMfm serta Pengarah Pusat Media IKIM, Ahmad Fuad Mat Ali.
"Saya tak tahu nak kata...Saya rasa mungkin ALLAH SWT memberi petunjuk (untuk memilih IKIMfm) kerana sewaktu menunaikan ibadah umrah baru-baru ini, doa saya ketika itu adalah jika saya masih lagi boleh memberikan manfaat kepada orang lain, saya mohon terus dipermudah dalam bidang ini," katanya.
Sementara itu, anak kelahiran Ipoh, Perak itu menangkis persepsi bahawa tawaran bersama IKIMfm itu akan mengecilkan ruang lingkup yang 'dinikmati' beliau sebelum ini.
"IKIMfm mempunyai 1.6 juta pendengar. Mereka juga mempunyai IKIMTV selain media sosial.
"Saya tidak rasa ia 'mengdowngredkan' bahkan IKIMfm ini akan lebih mendekatkan saya kepada al-Quran serta hadis," jelas beliau sambil menambah kontrak perkhidmatan dengan IKIMfm sedang diperhalusi sebelum ia ditandatangani.
Penerima trofi Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu menyertai dunia penyiaran bersama stesen radio Muzik FM pada 16 Julai 2004.
Beliau sebelum ini pernah bertugas di Suria FM pada 2017, namun berakhir 12 Januari lalu selepas enam tahun berkhidmat.
Tyzo juga pernah bertugas di stesen Ultra FM dan Pi Mai FM, sebelum beralih ke Selangor FM.
Sementara itu, Mohamed Azam berkata, penjenamaan IKIMfm adalah sebagai strategi untuk mengukuhkan jenamanya dan berusaha meningkatkan jumlah pendengar.
"Ia selari dengan kepesatan teknologi ICT dan penyiaran digital pada masa kini," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!