Amaran keras kepada penyeleweng barang kawalan, bersubsidi
SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat yang menyeleweng barang kawalan dan bersubsidi ke negara jiran.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, tindakan dan langkah yang lebih tegas telah diambil bagi membendung penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi daripada terus berlaku melalui pelaksanaan Ops Tiris 3.0.
Menurutnya, lebih 2200 anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negara termasuk di kawasan-kawasan sempadan.
"Berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah Ops Tiris 3.0 bermula 1 Januari 2024 sehingga 26 Februari 2024, sebanyak 498 kes telah dihasilkan melibatkan komoditi minyak diesel, petrol RON 95, LPG, minyak masak, gula dan tepung gandum dengan nilai rampasan ke atas barang kawalan berjumlah RM5.59 juta.
"Bermula pada 20 Januari 2024, Pegawai Penguat Kuasa KPDN di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan telah menjalankan pemeriksaan di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bagi memantau sepenuhnya pematuhan kenderaan perdagangan atau persendirian dalam mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh kementerian khususnya berkaitan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan.
"Berdasarkan statistik penguatkuasaan pemeriksaan kenderaan di ICQS bermula 20 Januari 2024 sehingga 27 Februari 2024, sebanyak 3,973 kenderaan telah diperiksa. Daripada jumlah itu, sebanyak tiga kes telah dihasilkan yang melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM97,049.50," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada pendedahan Sinar Harian menerusi laporan pada 29 Februari lalu berhubung peniaga restoran dan peniaga runcit di kawasan Narathiwat, Thailand yang menawarkan harga makanan atau barangan yang murah kerana menggunakan barang subsidi Malaysia.
Laporan tersebut mendedahkan bahawa peniaga makanan di sempadan itu tidak menolak dakwaan penggunaan barangan subsidi Malaysia yang di seludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok membolehkan pelanggan menikmati hidangan pada harga murah.
Mengulas lanjut, Azman berkata,mana-mana pihak orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta).
Manakala ujarnya, bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3 juga bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2 juga manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 5 juta," katanya.
Tambah beliau lagi, selain itu, syarikat berkenaan juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) Akta 613 iaitu kesalahan pengubahan wang haram.
Ia bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan barangan kawalan dan bersubsidi.
"Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi," katanya.
Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!