Skandal jualan beras: Filipina gantung tugas lebih 130 pegawai
MANILA - Pejabat Ombudsman telah mengarahkan penggantungan sementara ketua Agensi Makanan Kebangsaan (NFA) serta 138 pegawai dan kakitangan lain berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam penjualan stok penimbal beras, menurut Setiausaha Pertanian Filipina, Francisco Tiu Laurel pada Isnin.
Laurel berkata, arahan itu akan berkuat kuasa pada Isnin sementara siasatan dijalankan untuk menentukan kebenaran dakwaan berkenaan, lapor Xinhua.
Menurut beliau, siasatan dalaman itu hanya langkah pertama manakala jabatan pertanian akan bertindak berdasarkan hasil siasatan.
Seorang pegawai NFA telah menuduh beberapa eksekutif agensi itu menjual stok penimbal beras tanpa tender dan pada harga yang didakwa merugikan kerajaan.
Eksekutif NFA menafikan sebarang salah laku dengan mendakwa penjualan itu mengikut prosedur.
Kontroversi tercetus ketika rakyat Filipina bergelut dengan harga beras yang tinggi.
Filipina terus bergelut untuk menurunkan kos beras walaupun bekalan negara mencukupi. - Bernama/Xinhua
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!