Langkah terakhir tuduh tanpa kehadiran menantu Muhyiddin - Azam

Azam (kanan) menerima dokumen ikrar bebas rasuah yang ditandatangani daripada Aminuddin.
Azam (kanan) menerima dokumen ikrar bebas rasuah yang ditandatangani daripada Aminuddin.
A
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum berbincang dengan Peguam Negara (AG) berhubung pendakwaan secara tanpa kehadiran atau 'in absentia' terhadap Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, iaitu menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun tindakan undang-undang berkenaan boleh dilakukan, namun itu menjadi langkah terakhir diambil pihaknya.

"Setakat ini belum lagi berbincang dengan Jabatan Peguam Negara sama ada untuk menuduh beliau (Muhammad Adlan) tanpa kehadiran, in absentia.

"Seperti saya sebutkan dahulu, in absentia ini bukan pilihan utama. Jadi kita perlukan orangnya berada di sini untuk dituduh di mahkamah," katanya pada sidang akhbar selepas Program Bicara Eksekutif Antirasuah Bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), di Wisma Negeri di sini pada Isnin.

Hadir sama Exco dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ditanya mengenai waktu sesuai untuk pertuduhan secara in absentia, Azam berkata, pihaknya sudah menetapkan satu jangka masa tertentu, namun perkara itu tidak boleh didedahkan.

"Itu belum lagi peringkat sekarang, saya tak tahu lagi masa bila. Tapi saya memang beri 'timeline' kepada pegawai saya, tidak boleh nyatakan di sini.

"Apabila sampai masanya kelak, sekiranya keadaan memerlukan perbincangan akan dibuat dengan AG di mana kami akan mencadangkan.

Artikel Berkaitan:

"Selalu cadangan ini datang daripada kami (SPRM) untuk sebarang pertuduhan tanpa kehadiran mana-mana pihak atau pihak tertuduh," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya masih mengesan lokasi keberadaan ahli perniagaan terbabit dan turut bekerjasama dengan pelbagai pihak.

"Kita cuba pelbagai cara, pertama melalui Interpol (Polis Antarabangsa). Kedua kerjasama dengan pihak berkuasa luar negara yang kami ada connection. Itu kami sedang usahakan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Menurut SPRM, dua individu berkenaan ialah Muhammad Adlan dan peguam, Mansoor Saat, dengan kedua-duanya dikenal pasti meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilapor mengesahkan permohonan Notis Merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

Tindakan menyenaraikan nama mereka dalam Notis Merah itu dilakukan selepas dimohon SPRM untuk mengetahui keberadaan kedua-dua individu terbabit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!