Cium hajar aswad, Hafiz Mahamad mohon maaf
SHAH ALAM - Usahawan dan pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad memohon maaf atas perbuatannya memuat naik video bergelut untuk mencium hajar aswad sehingga mengundang kecaman ramai.
Hafiz yang juga Pengasas AINAA Beauty berkata, dia mengambil keputusan untuk menurunkan rakaman berkenaan selepas menerima pandangan dan nasihat ustaz serta mahu menjaga keharmonian di media sosial.
Bagaimanapun, dia menjelaskan tujuan video berkenaan diambil sebagai kenangan dan mahu mewujudkan keberanian kepada orang ramai yang belum berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Saya dah turunkan video itu. Semalam sebelum saya kongsi video itu, sebenarnya saya dah minta pendapat beberapa orang dan alhamdulillah pendapat mereka positif.
“Bila saya kongsi video itu, sejam... dua jam yang pertama masya-ALLAH saya dapat DM positif. Ada yang kata ya ALLAH teringinnya nak pergi, ya ALLAH rupanya situasi dia macam ini, kena bersedia daripada sekarang, fizikal dan mental,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram pada Selasa.
Sebelum ini, tular satu rakaman yang memaparkan Hafiz sedang berusaha membantu pasukannya untuk mencium hajar aswad sehingga kain ihram terbuka dan menampakkan bentuk badan.
Tindakan tersebut telah menimbulkan persepsi negatif netizen yang mempersoalkan perbuatan itu.
Video berkenaan turut mendapat reaksi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Menurut beliau, hukum mencium hajar aswad adalah haram sekiranya membahayakan termasuk menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain.
Katanya, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium hajar aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang.
Sementara itu Hafiz menjelaskan, walaupun sudah tujuh kali menunaikan ibadah tersebut tetapi ia merupakan video pertama yang dimuat naik.
“Saya tolong pasukan bukan nak jadi hero tapi harapnya benda itu boleh dicontohi oleh mereka. Yang saya dekat atas, bukan saya marah-marah tapi keadaan di situ bising dan ramai lagi kanak-kanak serta wanita lain sudah lemas kerana dihimpit.
“Saya doakan awak semua semoga ada rezeki sampai ke sini dengan keberanian, keikhlasan dan insya-ALLAH ibadah semua diterima. Saya tidak marah siapa yang komen negatif saya faham persepsi anda.
“Maafkan saya jika video yang saya kata kenangan itu mewujudkan banyak persepsi kepada sahabat-sahabat semua,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!