Asia Tenggara berpotensi jadi kuasa ekonomi 2040 - Laporan
KELEBIHAN demografi Asia Tenggara, trend perindustrian dan perbandaran serta kemajuan teknologi akan semakin menjadikan rantau itu kuasa ekonomi menjelang tahun 2040 sekali gus membuka peluang luas untuk perniagaan Australia.
Menurut laporan bertajuk 'Invested: Australia’s South East Asia Economic Strategy to 2040' oleh Utusan Khas Australia untuk Asia Tenggara, Nicholas Moore, Asia Tenggara dan Australia berkongsi prospek pertumbuhan ekonomi yang cerah, dekat dari sudut geografi, pelengkap ekonomi dan keperluan untuk kepelbagaian perdagangan.
Laporan berkenaan merupakan pelan tindakan untuk mempertingkatkan penglibatan ekonomi Australia dengan rantau ASEAN, ia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese pada September tahun lepas.
Dalam menyediakan laporan itu, Moore bertemu dengan lebih 750 individu di Asia Tenggara dan Australia merentasi kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil serta menerima kira-kira 200 respons melalui proses perundingan awam.
"Ketika saya menyusun laporan ini, saya bertemu dengan lebih 700 orang yang berbeza dan kami menerima lebih 200 respons, semua responden menyatakan keyakinan ini dari segi kepentingan Asia Tenggara kepada Australia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2024 di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC), di sini hari ini.
Sidang kemuncak tiga hari itu menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dialog Australia dengan ASEAN.
Strategi dalam laporan itu menggariskan laluan praktikal untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan ketara antara Australia dan Asia Tenggara.
Kerajaan Australia sedang mempertimbangkan 75 cadangan yang disertakan dalam laporan itu.
Empat kategori tindakan yang diperlukan untuk merealisasikan potensi komersial antara Australia dan Asia Tenggara seperti yang digariskan dalam laporan itu adalah meningkatkan kesedaran, menghapuskan halangan, membina kapasiti dan mempertingkatkan pelaburan.
Strategi berkenaan mengkaji 10 sektor keutamaan iaitu pertanian dan makanan, sumber, peralihan tenaga hijau, infrastruktur, pendidikan dan kemahiran, ‘visitor economy’, penjagaan kesihatan, ekonomi digital, perkhidmatan profesional dan kewangan dan industri kreatif.
Kerajaan Australia akan menyokong pelaksanaan segera strategi itu melalui tiga inisiatif keutamaan yang merupakan pasukan perjanjian pelaburan dengan pasukan sektor awam dan swasta yang baru ditubuhkan untuk mengenal pasti, membangun dan memudahkan pelaburan dalam projek komersial di rantau tersebut.
Antara inisiatif itu ialah mengadakan Program Pertukaran Perniagaan Asia Tenggara untuk mengembangkan perdagangan melalui misi perniagaan sektor yang disasarkan untuk membantu PKS memasuki pasaran termasuk kempen promosi perdagangan dan pelaburan Asia Tenggara di Australia.
Selain itu, inisiatif lain adalah membangunkan program pertukaran perintis untuk profesional muda dengan perniagaan Australia dan Asia Tenggara untuk memupuk hubungan komersial yang berkekalan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!